Ahli Parlimen Jelebu Suarakan Isu Felda Dan Peruntukan Luar Bandar, Fokus Kawasan Berisiko Banjir

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias membangkitkan beberapa perkara berkaitan Felda dan juga peruntukan untuk luar bandar di Parlimen, semalam.

Menerusi kenyataannya, beliau menegaskan bahawa perkara berkenaan amat penting dan perlu diberi penjelasan oleh pihak kerajaan.

“Saya membangkitkan dua perkara dalam Dewan Rakyat, iaitu berkaitan kelestarian Felda yang melibatkan 317 rancangan di seluruh negara dengan 480 ribu hektar keluasan ladang.

“Isu yang saya tekankan adalah mengenai 510 buah unit rumah generasi kedua Felda yang masih terbengkalai,” katanya.

Katanya lagi, Felda disaran untuk menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan mahupun swasta dalam usaha mencari penyelesaian sebaik mungkin.

“Cadangan saya agar pihak Felda menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan atau swasta untuk selesaikan isu ini segera.

“Keduanya mengenai infrastruktur luar bandar melalui peruntukan sebanyak RM207.6 juta yang diumumkan baru-baru ini.

“Saya cadangkan agar pihak kerajaan memberi fokus atau mengutamakan projek-projek di kawasan berisiko dilanda banjir terlebih dahulu,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.