UMNO Tetap Relevan Menjaga Kebajikan Dan Kepentingan Rakyat, Terus Tekad Kembali Kukuh

KENINGAU, 6 Nov – UMNO tetap relevan sebagai sebuah parti yang tulen berpaksikan tanggungjawab, amanah serta ikhlas menjaga kepentingan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata, tidak dapat dinafikan lebih 33 tahun UMNO menapak di negeri Sabah, banyak pembangunan dicapai selari dengan aspirasi untuk memajukan negeri agar tidak jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek.

“Kesatuan sesama pemimpin UMNO bermula dari akar umbi hingga ke peringkat tertinggi semata-mata memfokuskan kebajikan rakyat dan mencongak usaha pembangunan berterusan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya selepas mengadakan ziarah dan menyampaikan bantuan di Kampung Liawan dan Kampung Muhibbah di sini kelmarin.

Menurut Mohd Nadzri, senario kehidupan rakyat hari ini berbeza dengan situasi semasa khususnya aspek kebajikan perlu diberi tumpuan sejajar perbezaan jurang pendapatan, ekonomi, kemajuan pendidikan mahupun ditimpa penyakit dan bencana alam seperti banjir atau kebakaran.

“Senario ini antara cabaran UMNO di peringkat bahagian dan cawangan yang perlu dipikul dengan jujur, ikhlas dan berintergriti oleh ahli jawatankuasa (AJK) termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sepanjang masa.

“Soal kebajikan penduduk wajar diberi keutamaan tanpa mengira musim kerana inilah budaya kerja UMNO yang sentiasa cakna kepada isu serta masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya.

Nik Mohd Nadzri yang juga Pengerusi Sekretariat NGO dan Profesional Muda UMNO Sabah berkata, berasaskan keperluan itu, UMNO Bahagian Keningau telah pun menubuhkan beberapa jawatankuasa yang dianggotai oleh AJK bahagian termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri untuk menangani hal kebajikan termasuk pengurusan politik dan anak muda.

“Jawatankuasa berkenaan akan bergerak mengikut tugasan masing-masing bagi mendekati penduduk di semua ceruk dan tempat di sini serta pada masa yang sama cuba menyelesaikan isu berkaitan kebajikan dan sebagainya.

“Episod hitam politik di sini berikutan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berpunca dari pelbagai faktor antaranya fitnah yang disebarkan meluas melalui media sosial oleh parti lawan, kebajikan penduduk termasuk orang muda tidak ditangani dengan betul dan saya berharap melalui biro atau jawatankuasa yang dibentuk kita akan bangkit untuk memulihkan setiap kelemahan bagi persediaan menghadapi PRU dan PRN (Pilihan Raya Negeri) kelak,” katanya.

Menurut beliau UMNO bahagian perlu bangkit semula kerana parti ini pernah mewakili salah satu kerusi di kawasan Parlimen Keningau sebelum ini.

“Jika kita mahu mengembalikan sejarah itu dan mahu menang kita perlu bekerja cara orang mahu menang dan ia harus bermula dari sekarang dan digalas bersama antara kepimpinan UMNO bahagian dan cawangan,” tambah Nik Mohd Nadzri lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.