Shamshulkahar Harap Pusat Pengurusan Bencana Bersepadu Dibina Untuk Parlimen Jempol

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Ahli Parlimen Jempol Datuk Shamshulkahar Mohd Deli hari ini mencadangkan agar kerajaan membina pusat pengurusan bencana bersepadu di Parlimen Jempol dalam usaha memastikan kesiapsiagaan dalam pengurusan bencana kelak.

Menurut beliau Parlimen tersebut tidak mempunyai pusat operasi dalam pengurusan soal bencana dan kini hanya beroperasi di balai raya.

“APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) adalah merupakan barisan hadapan yang sangat penting dalam pengurusan bencana. Pusat operasi dan kelengkapan peralatan mesti diberikan keutamaan supaya agensi ini dapat bersiap siaga menghadapi pelbagai kemungkinan dalam pengurusan bencana.

“Jempol mencadangkan dibina baru pusat pengurusan bencana bersepadu di Parlimen terbabit sesuai dengan perancangan RMK12 iaitu ‘Memperkukuh Pengurusan Bencana (Strategi B3)’,” Katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2024, di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu beliau turut membangkitkan soal bekalan air bersih di Felda dan berharap ia mendapat perhatian kerajaan.

“Gangguan bekalan air sering berlaku di Parlimen Jempol. Antaranya melibatkan kawasan tanah rancangan FELDA di Zon Raja Alias, Zon Serting Hilir Kompleks, Zon Palong, dan Zon Jeram Padang.

“Ia berpunca kerana paip pecah yang rata-rata berusia lebih 35 tahun ke atas yang menyebabkan tekanan air rendah dan kadar air tidak berhasil yang tinggi serta mengakibatkan pembaziran air, (NRW),” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.