Puteri UMNO Jelajah Kemaman, Siap Siaga Hadapi PRK Tidak Lama Lagi

KEMAMAN, 6 Nov – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah mengadakan jelajah Kemaman sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Pada Khamis, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi telah mengadakan perjumpaan bersama Ketua-ketua Puteri UMNO bahagian seluruh negeri Terengganu.

Menerusi hantaran di laman Facebook Pergerakan Puteri UMNO, perjumpaan tersebut diadakan untuk menyusun gerak kerja bagi berhadapan dengan PRK.

Sejurus selepas itu, beliau turut mengadakan perjumpaan bersama Ketua-ketua Pergerakan Puteri dan Naib-naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Cawangan Kemaman.

Pada Jumaat pula, Nurul Amal bersama Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kemaman telah beriadah bersama dalam program ‘Jom Join Kakak Pink 1,000 Langkah’ di Pantai Penunjuk, Kijal.

Di samping itu, Puteri UMNO Malaysia turut berkesempatan untuk mengadakan ziarah kasih di sekitar Kemaman dan turut mendoakan agar insan yang diuji diberikan kesembuhan seperti sedia kala.

Pada September lalu media melaporkan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU ke-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal (28 November). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.