Parlimen: Shahar Bangkitkan Persoalan Berkaitan Unit Kerjasama Awam Dan Swasta (UKAS)

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Kerajaan hari ini diminta untuk menjelaskan berkaitan projek-projek menerusi kerjasama bersama pihak swasta dalam usaha memastikan segala yang dirancang serta dilaksanakan dapat memberi sumbangan kepada ekonomi negara.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2024, di Dewan Rakyat hari ini berkata beberapa persoalan memerlukan penjelasan lanjut berkaitan soal berkenaan.

“Kita hadapi kekangan dari segi fiskal dan sudah pasti kita perlu meminjam … sudah pasti juga Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan menyelaras bagi memastikan segala pelaksanaan projek dapat diusahakan bagi memberi kemampanan kepada ekonomi.

“Persoalan yang ingin saya bangkitkan kepada kementerian adalah bagaimana proses due-diligence dilakukan bagi menentukan kebolehlaksanakan projek melalui UKAS? Seterusnya berapa banyakkah cadangan projek yang telah diterima, ditolak dandiluluskan pelaksanaan? Apakah sebab cadangan projek ditolak,” katanya.

Kata beliau lagi bagaimanakah kemampanan pembiayaan cadangan projek tersebut tanpa membebankan komitmen kerajaan pada masa hadapan.

“Saya juga ingin tahu adakah terdapat projek yang mulanya semasa penilaian dibuat tidak membebankan kerajaan tetapi kemudiannya disebabkan faktor tertentu telah membebankan kerajaan iaitu kita telah terperangkap dengan hutang yang tanpa dilaksanakan.,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.