Kerajaan Perpaduan Prihatin Perkasa APM, Kelestarian Felda Diteruskan – Manndzri

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan kerana menambah peruntukan sebanyak RM200 juta pada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Jelasnya, keprihatinan Kerajaan Perpaduan bukan sahaja menambah peruntukan malah komited untuk memartabat peranan dan fungsi APM serta memastikan kebajikan warganya sentiasa terbela.

“Tenggara ucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Perpaduan dan ini melibatkan peningkatan peruntukan sebanyak RM20 juta yang diberikan kepada APM daripada RM174 juta pada tahun ini kepada RM194 juta pada tahun hadapan. Ini membuktikan keprihatinan pihak kerajaan dalam memperkasa peranan APM.

“Sekarang elaun anggota sukarela APM dibayar sebanyak RM8.00 bagi lain-lain pangkat manakala pegawai pula menerima RM9.80 sejam. Ianya adalah sama seperti mana yang diterima oleh anggota Rela.”

Sehubungan itu beliau bertanyakan adakah kadar elaun ini bakal dikaji semula memandangkan negara berdepan dengan peningkatan kos sara hidup serta risiko kerja anggota-anggota sukarelawan ini yang tinggi khususnya sewaktu menguruskan bencana.

“Berapakah jumlah yang diperuntukkan kepada APM bagi pemilikan aset pertahan awam yang baharu serta baik pulih aset sedia ada bagi menyepadukan operasi menyelamat dan sebagainya, khususnya yang melibatkan jentera berat?”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2024, di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu beliau turut membangkitkan kelestarian Felda dengan peningkatan peruntukan dari RM100 ribu pada tahun 2022 ke RM1.24 bilion pada tahun 2024 ini adalah sesuatu yang amat bererti.

“Perkembangan ini menunjukkan keseriusan Kerajaan Madani menjadikan Felda sebagai rakan kongsi yang serius dan strategik dalam memenuhi tuntutan dunia.”

Katanya, dengan dana ini, diharapkan 350 ribu hektar lebih keluasan tanah industri sawit dan getah dibawah Felda terutama urusan kilang-kilang pemprosesan dan kenderaan pengangkutan mampu direndahkarbon dan pengenalan peranti-peranti mekanisasi moden serta ‘green-tech’ dapat diketengahkan untuk produktiviti dan poses termampan.

“Kerajaan juga dicadang mengetengahan teknologi ‘renewable energy’ bagi menyokong aktiviti pemprosesan.

“Peruntukan ini juga diharap dapat memula usaha dan kajian penglibatan ladang sawit sebagai sumber oksigen dan perendah karbon yang mungkin boleh dikaji elemen-elemen ‘carbon trade’ seperti di European Union (EU), Australia, New Zealand, Korea Selatan dan lainnya serta mampu jana pendapatan tambahan kepada warga Felda,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.