Belanjawan 2024: Menepati Aspirasi Rakyat, Prihatin Semua Golongan – Hisham Suhaily

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) yang diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat pada Khamis minggu lepas menepati aspirasi dan saranan rakyat bagi memulihkan keadaan ekonomi, kata Exco Wanita UMNO Malaysia, Hisham Suhaily Othman.

Menurutnya, Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ itu merupakan belanjawan yang terbaik dan seimbang membantu rakyat dan juga pembangunan ekonomi negara.

“Saya merasakan belanjawan ini adalah belanjawan yang terbaik untuk membantu setiap masyarakat dan sebagai rakyat Malaysia kita harus bersyukur apa yang Kerajaan Perpaduan lakukan untuk bantu rakyat.

“Belanjawan 2024 adalah belanjawan yang seimbang terutamanya membantu rakyat  golongan B40 dan diseimbangkan dengan pembangunan ekonomi untuk negara. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan ini sangat prihatin pada setiap golongan.

“Kerajaan Madani tidak mengenepikan golongan atasan, pertengahan dan juga bawahan malah setiap golongan mendapat manfaat untuk dibelanjakan tidak kira sama ada dari golongan pesara, penjawat awam dan seterusnya golongan-golongan lain termasuk B40 dan M40,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Langkawi menjelaskan Belanjawan 2024 menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk meringankan beban kewangan setiap peringkat sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Malaysia ini adalah negara yang bertuah dan rakyat perlu tahu bahawa harga minyak RON 95 adalah harga yang terendah di Asia. Malah harga barangan sukan dan perubatan dinaikkan peruntukkannya sebanyak RM1,000 maka ianya tidak menjadi bebanan untuk rakyat yang ingin mendapat perkhidmatan yang terbaik dari hospital.

“Walaupun ianya nampak sedikit tetapi itu adalah keperluan umum untuk membantu rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu, Belanjawan 2024 itu diluluskan menerusi undian suara ketika sesi mesyuarat dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. Seramai 85 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar yang bermula sejak 16 Oktober lalu.

Belanjawan 2024 yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 13 Oktober lepas, melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah Malaysia.

Ia dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari, disusuli penggulungan selama empat hari mulai 30 Oktober lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.