Belanjawan 2024 Langkah Terbaik Kerajaan Tangani Jangkaan Kemelesetan Ekonomi – Zambry

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Belanjawan 2024 merupakan usaha konkrit kerajaan untuk membawa negara sebagai salah satu daripada kuasa ekonomi dengan meletakkan sasaran melalui peruntukan dan perancangan untuk dicapai.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata perancangan kerajaan itu sangat penting selepas negara dan ekonomi global berhadapan dengan situasi tidak menentu termasuk jangkaan berkenaan kedudukan ekonomi yang akan lebih mencabar mulai tahun hadapan.

“Sebab itulah Perdana Menteri mengambil kira segala aspek itu dengan membuat unjuran tertentu bagi memastikan kesan kemelesetan itu tidak terlalu dirasai seperti mana yang kita lihat berlaku di beberapa buah negara dunia.

“Ada negara yang mempunyai kesan inflasi yang sangat tinggi sebagai contoh sampai 40 peratus tetapi di Malaysia hanya sekitar dua ke tiga peratus yang tidak begitu tinggi. Jadi cabaran ini adalah bagaimana hendak mengekalkan inflasi itu,” katanya ketika ditemui UMNO Online secara eksklusif baru-baru ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata ini termasuk pelaksanaan subsidi bersasar yang akan dilaksanakan kerajaan sebagai usaha untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah.

Katanya lagi, amalan subsidi besar yang sebelum ini melibatkan semua lapisan rakyat menyebabkan kerugian besar kepada negara kerana perbelanjaan tersebut boleh digunakan bagi tujuan lain.

“Sebab itulah Perdana Menteri membuat unjuran supaya subsidi itu lebih tersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“…kerana sebelum ini kita dapati subsidi menyeluruh menyebabkan kumpulan-kumpulan lain mendapat peluang sama dengan golongan yang berpendapatan rendah,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, bajet ini juga mengambil kira dasar-dasar yang telah pun diumumkan termasuk Ekonomi Madani, Dasar Perindustrian, National Energy Transition yang dilaksanakan bagi mengorak masa hadapan negara.

Bercakap berkenaan dasar Kementerian Luar Negeri, Dr Zambry berkata Belanjawan 2024 ini juga menjadikan dasar luar negara berperanan dalam membawa manfaat ekonomi negara yang dipanggil sebagai diplomasi ekonomi.

Katanya ini dapat dilihat menerusi lawatan Perdana Menteri dengan melakukan lawatan rasmi ke luar negara sebagai salah satu agenda besar untuk menyusun program-program ekonomi bersama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Saya berasa gembira dapat bekerja dalam satu kumpulan yang baik dengan MITI di bawah pimpinan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan ini menyebabkan segala yang kita rancang bersama dapat digerakkan.

“Itulah yang dapat kita lihat dalam lawatan Perdana Menteri ke China berjaya membawa pulang jumlah pelaburan begitu banyak sekali termasuk juga dalam lawatan ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini USD 8 billion yang telah diberikan jaminan untuk dibawa masuk.

“Termasuk juga untuk membentuk satu jawatan kuasa peringkat tinggi bagaimana UAE dan Malaysia dapat berkerjasama dalam bidang ekonomi serta bidang politik dan keselamatan.

“Dua aspek yang sangat penting hubungan peranan kementerian luar bukan hanya mengurus soal dasar-dasar luar tetapi juga dalam dasar-dasar yang berkaitan dengan ekonomi,” katanya lagi.

Menurut beliau, langkah tersebut sangat penting untuk membina keyakinan dan membina persepsi yang baik, bukan hanya dalam negara tetapi juga di luar negara.

“Kalau kita tidak ada usaha-usaha yang bersungguh-sungguh untuk berada di persada antarabangsa menyampaikan mesej-mesej negara jadi agak sukar hendak yakinkan orang.

“…dan kritikan persepsi negatif itu kita tahu bagi mereka yang kepentingan tetapi saya percaya bagi rakyat yang melihat bagaimana kita bergerak ke hadapan ia memberi impak yang positif kepada negara,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.