PM Arah Jangan Tangguh Lagi Projek Kampung Sungai Baru – Johari Ghani

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru, di sini, tidak ditangguhkan lagi selepas tertangguh sejak enam tahun lalu.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengesahkan perkara berkenaan berkata, pihaknya dimaklumkan perkara itu pada bulan lalu menerusi Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“PMO sebelum ini sudah memberikan penangguhan hingga 31 Oktober 2023. Sekarang Oktober sudah habis, masuk November dan tiada lagi penangguhan. Pemaju kena selesaikan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana beliau bersetuju bahawa tidak ada lagi extension (lanjutan),” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di Parlimen Titiwangsa hari ini.

Februari lalu, penduduk Kampung Sungai Baru menyerahkan memorandum supaya kerajaan membatalkan penangguhan projek pembangunan kawasan itu seperti diumumkan Perdana Menteri.

Majoriti penduduk mahu pembangunan semula kawasan itu yang tertangguh sejak enam tahun lalu diteruskan.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWKL). – Berita Harian

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.