Pelbagai Langkah Kerajaan Perpaduan… TVET Tahfiz, Hadis 40 Imam Nawawi Bukti Syiar Islam Terpelihara

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Pelbagai langkah, inisiatif dan pelaksanaan yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan hari ini menerusi Belanjawan 2024 jelas memperlihatkan soal syiar Islam tetap menjadi keutamaan.

Mengambil beberapa contoh seperti mana di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang akan memperkenalkan Pra Tahfiz KEMAS, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz serta usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan memulakan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah adalah satu langkah yang cukup baik.

Bagi Ustaz Ahmad Izwan Hamzah yang merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Ampang, ia mencerminkan kesungguhan kerajaan hari ini agar syiar Islam khususnya terus berkembang sebaiknya di negara ini sekaligus melahirkan insan-insan yang sebaiknya kelak.

“Kerajaan ambil inisiatif untuk memperkenalkan satu skim di sekolah iaitu Hadis 40 Imam Nawawi. Kehidupan seharian untuk hadis 40 ini cukup dalam kehidupan seharian dan dalam buku hadis 40 ini sudah mencakupi kehidupan seharian yang umum.

“Justeru memang amat tepat pada waktunya untuk kita memperkenalkan kepada anak-anak kita berkenaan hadis 40 untuk awalan… untuk peringkat intervensi supaya mereka pada umur seterusnya sudah berada di dalam mainan hadis 40 ini.

“Bayangkan anak-anak kita pada umur tujuh tahun, 10 tahun sudah mampu menghafaz al-Quran dan mainan di bibirnya hadis 40, mainan di bibirnya Juzuk 20 al-Quran dan sebagainya merupakan satu kebanggaan kepada kita kelak sekaligus dapat melahirkan jiwa-jiwa yang sentiasa dalam hati dan sanubarinya serta mengalir dalam darahnya hadis 40 Nabi s.a.w dan al-Quran yang berada di dalam jiwa dan raganya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Segmen HIWAR: Hala Tuju Pembangunan Islam Menjelang 2024. Selain belau, ahli panel lain ialah Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang merupakan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Agama Islam UMNO. Segmen tersebut dihoskan Pengarah WTC Islamic Centre, Hj Afif Farhi Othman.

Ustaz Ahmad Izwan seterusnya menambah perkembangan berkenaan adalah satu langkah konkrit kerajaan untuk meningkatkan pendidikan Islam di negara ini dan umumnya bajet yang telah dibentangkan mencakupi  isu agama dan bertepatan pula dengan slogan yang dibawa iaitu Malaysia madani.

“Jumlah RM1.9 bilion dalam sektor agama bukanlah dalam Islam semata-mata tetapi syiar Islam itu sendiri. Syiar Islam itu diangkat oleh Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Pecahan yang diberikan secara umumnya… berkaitan peruntukan pembangunan. Keduanya tambahan untuk gaji dan sebagainya dan begitulah pecahan yang lain dalam usaha memastikan syiar Islam terus berkembang sebaiknya,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.