Ops Ihsan: Solidariti Tidak Berbelah Bahagi Kepada Rakyat Palestin – Ahmad Zahid

 

SEPANG, 4 Nov – Pelepasan bantuan kemanusiaan sebanyak 20 tan merupakan tanda solidariti tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia kepada warga Palestin yang sedang menghadapi konflik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sumbangan tersebut adalah hasil kutipan yang dibuat daripada orang ramai sejak terjadinya peperangan.

“Alhamdulilah. Penghantaran pertama ini adalah hasil kutipan yang dibuat dari orang ramai dan Insya-Allah segala keperluan telah disenaraikan kepada kami serta NGO (badan bukan kerajaan) akan dihantar melalui penerbangan selanjutnya.

“Perdana Menteri dalam mesyuarat jemaah menteri tadi telah menyatakan persetujuan untuk menggunakan sebahagian daripada RM100 juta kutipan yang telah dibuat oleh kerajaan Malaysia dan Kementerian Luar Negeri bagi digunakan kepada pelajar-pelajar Palestin yang berada di Malaysia dalam membiayai sebahagian daripada kos sara hidup, pengajian dan beberapa kos lain yang terlibat.

“Ini kerana pembayaran terutamanya daripada ibu bapa mereka telah tidak dapat sampai sama ada disebabkan keluarga mereka telah tiada lagi, punca kewangan atau sistem penghantaran telah terputus,” katanya pada satu sidang media sempena Majlis Pelancaran Ops Ihsan, malam tadi.

Jelasnya, Tuan Yang Terutama (TYT) Duta Palestin akan mengemukakan senarai penuh rakyat Palestin di Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

“Dalam hal ini, TYT Duta Palestin telah menyatakan bahawa para pelajar dan keluarga Palestin yang ada di Malaysia akan dikemukakan senarai penuhnya kepada Kementerian Luar Negeri untuk tindakan selanjutnya.

“Di samping itu, Ops Ihsan yang telah berjalan selama beberapa hari ini, kami ucapkan berbanyak terima kasih kepada keprihatinan para penderma rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, kaum dan juga latar belakang politik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada duta-duta negara Islam yang bersama-sama dalam acara pelepasan bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

“Inilah semangat yang harus terus diperlihatkan rakyat Malaysia keseluruhannya. Kami juga mengucapkan terima kasih kepada duta-duta negara-negara sahabat terutamanya daripada negara Islam yang turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ini.

“Ini memperlihatkan solidariti tidak berbelah-bahagi kepada rakyat Palestin khususnya yang berada di Gaza dan kini kita tahu bahawa di Tebing Barat juga telah mula mengalami serangan daripada pihak Israel,” katanya lagi.

Penghantaran bantuan kemanusiaan pertama Malaysia untuk rakyat Palestin membabitkan pelbagai barangan keperluan seberat 20 tan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish, Mesir menerusi penerbangan pesawat kargo khas malam tadi.

Pesawat kargo itu berlepas kira-kira 11.30 malam dari Terminal Kargo, KLIA dan barangan bantuan kemanusiaan itu kemudiannya akan diserahkan kepada Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama bagi membawa masuk barangan itu ke Gaza melalui sempadan Rafah.

Penghantaran pertama itu adalah sebahagian daripada 50 tan barangan berjumlah lebih RM7 juta yang dikumpul melalui Ops Ihsan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.