Belanjawan 2024 Bukti Kerajaan Perpaduan Komited Ke Arah Mensejahterakan Rakyat – Zambry


KUALA LUMPUR, 3 Nov – Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berpandangan Belanjawan 2024 membawa manifestasi tersendiri dalam mensejahterakan rakyat.

Katanya ini kerana, elemen asas menjadi dukungan utama kerajaan iaitu membasmi kemiskinan termasuk juga fokus kepada bidang kesihatan dan pendidikan.

“Belanjawan yang mensejahterakan rakyat, sebab itu fokus utama diberikan oleh Perdana Menteri termasuk bagaimana hendak membasmi kemiskinan.

“Beliau menyatakan secara bersungguh-sungguh kemiskinan tegar mahu dihapuskan, termasuk fokus yang nak diberikan lebih kepada aspek-aspek ini termasuk dalam bidang kesihatan pendidikan,” katanya ketika ditemui UMNO Online secara eksklusif baru-baru ini.

Dr Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata langkah kerajaan itu dapat dilihat apabila komitmen diikrarkan untuk mengukuhkan ekonomi negara sekaligus berupaya mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menurut beliau ianya penting untuk digapai bagi memastikan negara bersedia bagi mengadapi kegawatan ekonomi yang mendatang.

“Ini adalah perkara-perkara yang asas kepada rakyat dan kita mengharapkan dengan pendekatan yang ada ini ia akan dapat membantu negara untuk bertahan dalam menghadapi keadaan ekonomi di tahun hadapan.

“Seterusnya ia mampu melonjakkan balik pelaburan negara dan juga menyediakan peluang pekerjaan dalam masa yang sama mendapatkan pendapatan,” ujar beliau.

Mengakhiri perbincangan berkenaan Belanjawan 2024, beliau berharap rakyat memberi dukungan kepada belanjawan ini di samping memahami perancangan tersebut dengan sebaiknya.

Menurut beliau ini kerana kerajaan memerlukan tempoh sewajarnya bagi memastikan segala rangka tersebut dapat diterjemah secara koprehensif untuk manfaat rakyat.

“Kesungguhan kerajaan untuk menyusun semula beberapa aspek ekonomi memerlukan sokongan daripada rakyat tentunya juga rakyat perlu memberikan ‘feedback’ daripada bawah.

“Bukan hanya pendekatan daripada atas ke bawah tapi dalam masa yang sama bawah ke atas pun perlukan respon bagi melihat keadaan yang berlaku secara menyeluruh,” katanya.

Kerajaan juga jelas beliau sentiasa terbuka dalam menerima pandangan dan penambahbaikan daripada rakyat yang mempunyai kepelbagaian latar belakang dan sosioekonomi.

“Kita seringkali mendengar, mungkin ada kekurangan daripada kerajaan yang perlu kita perbaiki untuk diperhalusi dan ambil tindakan kerana dengan jumlah penduduk bertambah dengan kedudukan rakyat di pelbagai tempat, demografi yang berbeza jadi yang perlukan respon daripada semua peringkat.

“Itu sangat penting kerana sesebuah kerajaan berfungsi bukan hanya dari atas ke bawah tapi juga daripada bawah ke atas pun ada respon,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.