Bajet 2024: Belanjawan Dan Bantuan Untuk Rakyat Terbesar Dalam Sejarah – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata belanjawan pada tahun depan merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah dan begitulah juga dengan bantuan yang boleh dianggap terbesar.

Bercakap pada Forum Belanjawan 2024 anjuran Penerangan UMNO Malaysia, malam tadi beliau menegaskan selain berpaksikan kepada keadilan yang sebenarnya dalam soal pengagihan bajet 2024, jumlah RM303.8 Bilion merupakan satu jumlah yang cukup besar.

Forum Belanjawan 2024 dihoskan oleh Mohd Shafiq Fhadly Mahmud. Turut bersama Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dan pimpinan rakan-rakan parti kerajaan perpaduan yang lain.

Menghuraikan lebih lanjut, Ahmad Maslan yang bergandingan dengan rakan sejawatnya, Steven Sim seterusnya menambah bantuan-bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah meningkat daripada RM8 bilion pada tahun ini kepada RM10 bilion pada tahun depan.

“Peruntukan STR naik daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion. Daripada 8 juta rakyat kepda 9 juta rakyat dan ini tentunya memberi lebih bantuan kepada rakyat. Sumbangan  Asas Rahmah (SARA) untuk 220,000 orang miskin pada tahun ini naik kepada 700,000 orang pada tahun depan. Daripada RM600 untuk enam bulan pada tahun ini kepada RM1,200 untuk 12 bulan. Itu satu lagi tambahan untuk tahun depan.

“Orang-orang bujang sebelum ini STR cuma RM350 tetapi tahun depan RM500. Penjawat awam selalu dapat RM700…RM600 tahun depan RM2,000. Kepada pesara RM1,000 dan lain-lain lagi. Pesara tentera yang berpencen dan yang tidak berpencen RM1,000 dan macam-macam lagi. Ini adalah antara perkara-perkara baharu dan hujung tahun ini iaitu pada bulan Disember nanti, 10 juta rakyat Malaysia akan menerima RM100 seorang E-Tunai Rahmah.

“Bantuan begitu banyak dan subsidi padi ditambah, subsidi musim tengkujuh ada untuk penoreh getah, nelayan diteruskan. Begitu juga dengan bantuan awal persekolahan dan itu antara bantuan-bantuan yang bertambah pada tahun depan,” katanya.

Sementara itu Steven Sim merumuskan Bajet 2024 berkisar kepada 3P iaitu Produktiviti, Pertumbuhan dan Perlu yang mana ketiga-tiga gabungan ini mencerminkan Bajet 2024.

“Saya ingin rumuskan dalam 3P iaitu bajet tentang produktiviti. Kita mahu tingkatkan produktiviti. Contoh kita katakan tadi kita mahu hapuskan birokrasi, percepatkan proses dan sebagainya. Kita mahu tingkatkan produktiviti negara. Seterusnya adalah Pertumbuhan… kita juga mahu naikkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Manakala akhir sekali adalah keperluan…belanjawan ini belanjawan paling besar maksudnya apa…maksudnya lebih banyak duit untuk rakyat dan lebih banyak duit untuk pembangunan, pendidikan dan sebagainya. Tetapi kita belanja di tempat yang perlu dan inilah konsep yang betul.

“Kita belanja kepada rakyat apa yang patut kepada rakyat dan apa yang patut kita belanja kepada perniagaan kita belanja kepada perniagaan. Naikkan bantuan rakyat…naikkan bantuan petani, bantuan penoreh dan sebagainya lagi…ikut keperluan dan jangan ada pembaziran dan jangan ada ketirisan malah jauh lagi jangan ada rasuah. Jadi kesimpulannya 3P yang merangkumi Produktiviti,  Pertumbuhan dan Perlu…kita ikut keperluan,” ujarnya. – UMNO Online.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.