Ahmad Zahid Doakan Kesembuhan, Ke’afiatan Buat Najib Razak

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendoakan kesembuhan buat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang kini positif COVID-19 dan menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Dalam satu hantaran di X (sebelum ini Twitter), Ahmad Zahid juga mendoakan agar bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu diberikan kekuatan dan ketabahan.

“Ya Allah, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, dengan rendah hati kami memanjatkan doa agar dikurniakan kesembuhan, kea’fiatan dan pemulihan buat Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang diuji dengan wabak COVID-19.

“Ya Allah, Engkau yang Maha Kuasa atas segala sesuatu, kurniakanlah kekuatan dan ketabahan kepadanya dalam menghadapi ujian ini.

اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَأْسَ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِى لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

“Ya Allah, Tuhan seluruh manusia, hilangkanlah penyakit, sembuhkanlah, Engkau lah yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit.”

Terdahulu dalam satu laporan media, pegawai khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi memaklumkan Najib Razak dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur pada Selasa lalu selepas beliau mengadu demam dan setelah pemeriksaan dilakukan doktor pakar, beliau didapati positif COVID-19. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.