UMNO Labuan Terus Aplikasi Program Peduli Rakyat, Dampingi Masyarakat Demi Kesejahteraan

LABUAN, 2 Nov – Bukan sekadar melepas batok di tangga atau usaha dilaksana separuh jalan namun aplikasi gerakan Program Peduli Rakyat UMNO Labuan dilakukan berterusan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata program berkaitan khidmat kepada masyarakat setempat khususnya mereka yang dilanda kesusahan, golongan asnaf dan yang kurang berkemampuan adalah sasaran utama agar kesusahan yang dirasai dapat dibantu.

“Saya telah menggerakkan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Labuan bersama Sekretariat Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat UMNO Labuan bagi menyampaikan sumbangan beras melalui Program Peduli Rakyat kepada pasangan pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan pada minggu hadapan.

“Kita memahami bahawa usaha bersama rakyat melangkau pelbagai perkara malah majlis kenduri atau meraikan pasangan pengantin dengan agihan sumbangan barangan keperluan asas utama iaitu beras akan dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban perbelanjaan.”

Ujarnya, biarpun ada beberapa program yang beliau sendiri tidak dapat bersama namun usaha dalam memastikan setiap pelaksanaan dan perancangan demi rakyat lancar sentiasa dipastikan.

“Hal ini sememangnya amat sebati dengan perjuangan UMNO, bersama dalam susah dan senang, melalui pelbagai cabaran dan berusaha untuk memastikan kesejahteraan dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Ini adalah inisiatif berterusan yang dilaksana bagi memastikan masyarakat Labuan sentiasa mendapat pembelaan dan tidak berdepan kesulitan,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu Program Peduli Rakyat dengan penyerahan bantuan beras dilaksana melibatkan enam cawangan UMNO di sini iaitu Durian Tunjung, Patau-Patau 1, Rancha-rancha Laut, Sungai Lada, Sungai Labu dan Layang-Layangan.

Turut serta dalam program tersebut ialah ketua-ketua Cawangan yang terlibat di samping Ketua Pemuda UMNO Bahagian Labuan, Saiful Pungot; Ketua Wanita UMNO bahagian, Niswati Tarji; Setiausaha UMNO bahagian, Suhaili Amir; Bendahari UMNO bahagian, Musa Basman dan Pengerusi Sekretariat Kebajikan, Sabli Jinin serta Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian setempat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.