Penyelesaian Bersepadu Mesti Dilaksanakan Segera Tangani Isu Flat Lama Dan Usang

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersetuju dengan pandangan dan cadangan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marina Ibrahim agar penyelesaian bersepadu dilaksanakan segera.

Ini katanya merujuk kepada masih banyak flat-flat lama dan usang yang tidak diselenggara dengan baik di mana terdapat flat yang mengalami kerosakan teruk serta akhirnya mengakibatkan beberapa penghuni kediaman tersebut dipindahkan atas faktor keselamatan.

Begitu juga banyak flat yang tidak menjaga kebersihan di kawasan sekitar sehingga mencacatkan pemandangan kawasan perumahan.

“Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu melihat isu penyelenggaraan flat-flat awam yang daif dan uzur.

“Dalam masa yang sama, pihak KPKT perlu melihat dan menilai semula undang-undang serta bidang kuasa Pesuruhjaya Bangunan (COB) PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dan Jawatankuasa Penduduk (JMB) terhadap pengurusan penyelenggaraan flat dan pangsapuri,” katanya di X (dahulunya Twitter).

Jelasnya lagi, hal ini kerana kuasa COB PBT pada masa kini hanyalah memantau JMB dan tiada kuasa untuk menyita unit kediaman yang tidak membuat bayaran yuran penyelenggaraan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri mencadangkan kepada pihak KPKT supaya kuasa diberikan kepada COB PBT sama seperti kuasa sedia ada yang boleh menyita unit yang tidak menjelaskan bayaran cukai harta / cukai pintu PBT.

“Sebagai contoh, Program Perumahan Rakyat Kempas, Denai kini sudah berwajah baru selepas kerja-kerja baik pulih berjaya dilaksanakan.

“Ia meliputi kerja-kerja pembersihan di sekitar bangunan, mengecat semula bangunan lama serta penggantian 21 unit lif baru bagi tujuan keselamatan dan keselesaan penduduk,” katanya.

Justeru Onn Hafiz berharap agar isu ini dipandang serius dan segala cadangan yang dikemukakan dapat dipertimbangkan oleh pihak kementerian demi menjaga keselamatan, kemudahan dan keperluan rakyat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.