Lima Hasil Usahasama Di Jerman Yang Beri Manfaat Besar Pada Usahawan, Pelajar Bawah MARA

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan terdapat lima hasil usahasama di Jerman yang akan memberi manfaat besar kepada usahawan dan pelajar di bawah MARA.

Dalam satu perkongsian di Facebook dengan melampirkan video berkaitan, Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata pertamanya adalah berkaitan kerjasama strategik dengan German Chamber of Commerce.

“MARA menjalinkan kerjasama strategik dengan German Chamber of Commerce yang bersedia mengumpulkan lebih 300 syarikat Jerman di bawah naungannya yang beroperasi di Malaysia untuk mengadakan perjanjian strategik dengan GMI-MARA (German Malaysian Institute di bawah MARA) yang membolehkan pelajar-pelajar mendapat tempat pekerjaan di bawah skim ‘apprenticeship’ dan latihan industri.

“Kedua, perlantikan CEO (ketua pegawai eksekutif) Bosch Malaysia syarikat konglomerat (Multinational Company) antara terbesar di Jerman sebagai Ahli Majlis TVET Negara bagi membantu kerajaan merangka Dasar dan ‘Blueprint’ TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dengan mengambil pengalaman Jerman sebagai negara perintis dan peneraju industri TVET dunia.

“Majlis ini dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan MARA juga adalah antara Ahli Majlis yang memainkan peranan utama,” ujarnya lagi.

Tambahnya, hasil ketiga adalah kejayaan menandatangai empat memorandum persefahaman (MoU) dengan empat universiti terkemuka Jerman dengan GMI-MARA bagi mengadakan program berkembar pertukaran pelajar dan tenaga pengajar yang beri manfaat besar kepada pemindahan kemahiran dan teknologi.

“Keempat, mengambil kira aduan ibu bapa mengenai keciciran anak-anak tajaan MARA di peringkat persedian bahasa Jerman, saya sempat mengadakan pertemuan dengan semua Pusat-pusat Bahasa Jerman yang menempatkan pelajar-pelajar Malaysia.

“Satu kesepakatan dicapai untuk melakukan beberapa intervensi awal supaya tidak berlaku keciciran yang merugikan wang rakyat yang dilaburkan untuk pembangunan modal insan,” katanya yang berada di Jerman dalam rangka lawatan kerja.

Begitu juga yang kelima jelasnya, iaitu kerjasama strategik juga bakal dilaksanakan dengan beberapa universiti TVET di Jerman untuk membolehkan pelajar-pelajar Malaysia mendapat tempat untuk pengalaman bekerja selama maksimum empat tahun dengan syarikat-syarikat terkemuka Jerman sebelum pulang ke tanah air. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.