Konflik Palestin: Veteran UMNO Bantah Notis Tata Tindak Dari AS, Tegas Pendirian Malaysia Tidak Pernah Berubah

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Veteran UMNO Malaysia membantah tindakan Amerika Syarikat (AS) yang telah menghantar notis tata tindak (demarche) dan menegaskan bahawa pendirian Malaysia tidak pernah berubah mengenai konflik Palestin.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, notis tersebut telah dihantar ke Wisma Putra pada 13 dan 30 Oktober manakala Duta Besar Malaysia di Washington turut dipanggil.

“Veteran UMNO Malaysia membantah tindakan Amerika Syarikat yang telah menghantar notis tata tindak (demarche) kepada Malaysia di atas keengganan Malaysia untuk mengesahkan Hamas sebagai pengganas.

“Notis itu telah dihantar ke Wisma Putra bertarikh 13 dan 30 Oktober. Sementara itu, Jabatan Negara AS juga telah memanggil Duta Besar Malaysia di Washington pada 18 Oktober mengenai perkara yang sama.

“Sama ada ‘dermarche’ itu bertujuan untuk ‘memujuk atau menjelaskan kehendak secara diplomatik’ oleh AS kepada Malaysia, ianya jelas menunjukkan AS menggunakan paksaan dan desakan serta ugutan secara halus kepada Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, AS jelas cuba menunjukkan kuasa dengan melakukan campur tangan terhadap negara lain yang merdeka dan berdaulat.

“AS tahu pendirian Malaysia tidak pernah berubah dari awal terhadap isu Israel dan sokongannya kepada Palestin. Jadi, tindakan AS menghantar Notis Tata Tindak itu sebagai usaha mengugut Malaysia yang boleh ditafsirkan dengan tindakan susulan lain.

“AS jelas cuba menunjukkan kuasanya dengan campur tangan dalam negara lain yang merdeka dan berdaulat. Malaysia adalah negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sah dan kita telah menyatakan dengan tegas pendirian dengan mengutuk serangan Israel ke atas Gaza dan rakyat Palestin.

“Kita mengundi di PBB untuk menyokong gencatan senjata. Kita mempelopori desakan menyokong Palestin dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Asean. Kita telah mengambil pendekatan diplomatik antarabangsa bagi menghentikan tindakan jahat Israel itu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mustapha turut beranggapan bahawa tindakan tersebut tidak beretika oleh sebuah negara besar kepada negara kecil demi menjaga kepentingan sekutunya.

“AS tidak senang dengan kelantangan Perdana Menteri terhadap Israel kerana AS sedar mereka yang sebenarnya di belakang Israel. Suara Perdana Menteri adalah suara rakyat Malaysia yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

“Oleh itu sebagai untuk mereda kelantangan Perdana Menteri maka AS menggunakan saluran diplomatik melalui ‘dermarche’. Tindakan itu jelas tidak beretika oleh sebuah negara besar kepada negara kecil demi untuk menjaga kepentingan sekutunya Israel,” katanya lagi.

Pada Selasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Malaysia menerima tiga Notis Tata Tindak daripada Kedutaan AS kerana keengganan negara menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.

Perdana Menteri berkata, dua notis yang dipanggil demarche itu diterima Kementerian Luar masing-masing pada 13 dan 30 Oktober lalu, manakala satu notis lagi tidak dinyatakan tarikhnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.