Komitmen Dan Kerjasama Utuh, Ahmad Zahid Yakin TVET Jadi Pilihan Pelajar

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin dengan komitmen dan kerjasama yang utuh maka program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menjadi pilihan utama pelajar.

Katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Pengerusi Majlis TVET Malaysia, hal ini akan menjadi penyumbang utama kepada tenaga kerja dalam negara.

“Insya-Allah dengan komitmen dan kerjasama yang utuh, saya yakin, seperti di Jerman, Jepun, dan banyak negara maju lain, TVET akan menjadi pilihan utama pelajar dan menjadi penyumbang utama kepada tenaga kerja di negara kita,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya berkaitan hal ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan lawatan kerja ke Berlin, Jerman, serta melawat ibu pejabat Bosch dan mengadakan perjumpaan dengan Bosch-Haus serta Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (DIHK).

“Saya juga berkesempatan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara German-Malaysian Institute (GMI) and TH Brandenburg University of Applied Sciences sempena lawatan kerja saya di sana,” katanya.

Beliau memaklumkan turut dibincangkan dalam lawatan tersebut ialah mengenai potensi kerjasama dan perkongsian kepakaran, khususnya dalam bidang TVET.

“DIHK juga akan mengetuai usaha penyelarasan syarikat-syarikat Jerman di Malaysia dan sebahagian daripada majlis penasihat yang khusus untuk membina ekosistem TVET di Malaysia.”

Dalam kenyataan sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa DHIK akan terlibat dalam proses mewujudkan rangka tindakan unik, bagi disesuaikan dengan program TVET di negara ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.