Dewan Rakyat Lulus Belanjawan 2024 Di Peringkat Dasar

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) diluluskan di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu diluluskan apabila lebih suara bersetuju selepas undian suara dijalankan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menggulung perbahasan Belanjawan 2024 bagi Kementerian Kewangan, yang merupakan kementerian terakhir membuat penggulungan.

Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ yang dibentang Anwar di Parlimen pada 13 Oktober lepas, melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah Malaysia.

Daripada jumlah peruntukan tersebut RM303.8 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan, manakala RM2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka.

Rang undang-undang itu dibahaskan selama lapan hari mulai 16 Oktober oleh 162 ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang dan digulung oleh semua 25 kementerian dan tiga Jabatan Perdana Menteri selama empat hari bermula Isnin lepas.

Menurut takwim Parlimen, perbahasan rang undang-undang berkenaan bagi peringkat jawatankuasa dijadualkan selama 12 hari bermula 6 November ini.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin. – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.