Belanjawan Johor 2024 Bakal Sentuh Pelbagai Inisiatif, Ambil Kira Input Bangsa Johor

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan bahawa Belanjawan 2024 bagi negeri itu akan menyentuh pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, segala input adalah hasil perbincangan bersama dengan pelbagai pihak di negeri itu.

“Syukur Alhamdulillah, segala perincian Belanjawan Johor 2024 telah dipersetujui secara bersama oleh setiap jabatan dan agensi seluruh Johor, serta mengambil kira cadangan daripada Bangsa Johor sendiri.

“Belanjawan Johor 2024 yang dibincangkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Belanjawan Negeri Johor Tahun 2024 ini tentunya bakal menyentuh pelbagai inisiatif, bantuan dan pembangunan, yang akan memberi manfaat, semangat serta keyakinan bahawa Kerajaan Negeri memandang serius tentang isu rakyat,” katanya di akaun media sosialnya di Facebook dan juga X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

Turut hadir Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Johor; Pegawai Kewangan Negeri Johor Datuk Haji Salehuddin Haji Hassan; Penasihat Undang-undang Negeri Johor Datuk Amir Nasruddin; Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPEN) Dr. Haji Amirul Haffiz Ariff; serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Tambahnya lagi, belanjawan tersebut akan dibentangkan pada 23 Nov ini.

“Insya-Allah, sama-sama kita nantikan pengumuman Belanjawan Johor 2024 pada 23 November 2023 ini. Allah Peliharakan Sultan Allah Berkati Johor,” ujarnya.

Untuk rekod, pada 13 Okt lalu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani dengan memperuntukkan sebanyak RM393.8 bilion dan daripada jumlah tersebut, RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Manakala antara insentif untuk Johor dari belanjawan itu adalah pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) di Johor Bahru dan projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam dengan kos RM931 juta.

Selain itu pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor dengan kos RM938 juta dan penubuhan pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (Al) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan peruntukan awal RM20 juta. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit