TVET Salah Satu Pendekatan Kerajaan Perpaduan Perkasa Sumber Tenaga Mahir – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi salah satu pendekatan Kerajaan Perpaduan.

Ujarnya, ia ke arah memperkasa sumber tenaga kerja mahir warga tempatan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan industri di negara dan sekaligus mengurangkan kebergantungan negara terhadap sumber tenaga kerja warga asing.

“Komitmen kerajaan dalam memperkasa TVET ini diterjemahkan dalam pelbagai jalinan kerjasama yang dibentuk melalui pelbagai agensi dalam dan luar negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya lagi dalam rangka lawatan kerja di luar negara, seperti di United Kingdom, di Jerman juga beliau telah bertemu dengan ramai pelajar Malaysia dan berkongsi komitmen Kerajaan Perpaduan.

“Kali ini saya menyatakan sokongan kerajaan dalam usaha pelajar-pelajar bagi memperoleh kecemerlangan pendidikan dalam pelbagai bidang pengajian termasuk bidang yang popular di sini yakni TVET.

“Saya akui, kehidupan para pelajar Malaysia di sini memerlukan tahap kesabaran dan kecekalan yang tinggi. Namun saya yakin pengorbanan mereka ini akan membawa makna dan kejayaan yang besar bukan sahaja untuk diri, tetapi juga keluarga, masyarakat serta menjadi aset negara yang berharga kerana mempunyai kepakaran yang tinggi untuk memacu pembangunan negara,” kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi.

Begitu juga jelasnya, dengan wujudnya potensi besar dalam bidang TVET ini, sewajarnya para belia dan ibu bapa tidak perlu lagi bersikap skeptikal terhadap laluan kerjaya dalam bidang TVET ini.

“Saya yakin, bidang TVET kini mampu menjanjikan potensi masa hadapan yang lebih baik kepada pelajar berserta pendapatan yang lumayan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara German-Malaysian Institute (GMI) and TH Brandenburg University of Applied Sciences di universiti tersebut.
“MoU ini bertujuan untuk mewujudkan kerjasama akademik untuk pelajar Jerman A-level (GAPP), meneroka laluan pengajian untuk graduan Diploma GMI, dan mewujudkan Program Pertukaran Kakitangan GMI,” katanya.

Tambahanya lagi, beliau juga diberi peluang untuk melihat cara universiti teknikal beroperasi dan turut ditunjukkan beberapa produk hasil ciptaan para pelajar.

“Apa yang amat membanggakan saya ialah apabila ditunjukkan hasil produk pelajar Malaysia. Arnold Barety berjaya membina ‘Wind Tunnel Extension’ manakala Khadijah Anis berjaya mereka-bentuk ‘optimal two and four-bladed rotor’

“Saya percaya, masa depan industri TVET adalah cerah dan kerjasama dengan institusi TVET yang mantap seperti di Jerman ini sudah pastinya akan memangkin ekosistem TVET di negara kita. Kejayaan pelan tindakan ini nanti akan bergantung pada dedikasi, kerjasama yang berkesan dan akses kepada perkongsian kepakaran yang sedia ada.

“Insya-Allah dengan komitmen dan kerjasama yang utuh, saya yakin, seperti di Jerman, Jepun, dan banyak negara maju lain TVET akan menjadi pilihan utama pelajar dan menjadi penyumbang utama kepada tenaga kerja negara kita,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.