Penubuhan JTPPP Bagi Pastikan Projek Pelaburan Direalisasikan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan Penubuhan Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) adalah merupakan suatu inisiatif reformasi pentadbiran dan menzahirkan komitmen kerajaan dalam usaha untuk ‘translate plans into action’.

Ujarnya, penubuhan tersebut sekaligus mendukung peranan Majlis Pelaburan Negara (MPN) iaitu majlis berkaitan pelaburan di peringkat tertinggi negara dalam memastikan pelaksanaan projek-projek pelaburan direalisasikan sepenuhnya.

Jelasnya, salah satu agenda tetap dalam JTPPP adalah pelaporan status perkembangan terhadap komitmen pelaburan yang telah diutarakan oleh para pelabur semasa Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) dan lawatan kerja rasmi yang disertai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“JTPPP seterusnya akan melapor kepada (MPN) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, dijadualkan bersidang setiap bulan. Bagi tempoh Januari sehingga Jun 2023, Malaysia telah menarik sejumlah RM132.6 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama, yang merupakan 60 peratus daripada sasaran bagi tahun 2023.

“Pelaburan langsung domestik (DDI) merupakan penyumbang utama dengan jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM69.3 bilion (52.2%), manakala pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM63.3 bilion (47.8%).

“Kerajaan sentiasa memberikan penumpuan yang setara dan seimbang dalam menggalakkan DDI dan FDI. Pertumbuhan kedua-dua DDI dan FDI adalah penting dalam menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara. Perlu diakui bahawa DDI dan FDI mempunyai kebergantungan antara satu sama lain dan saling melengkapi dalam menyokong ekosistem serta rantaian nilai dan penyumberan sektor masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Penggulungan Belanjawan Tahun 2024 Peringkat Dasar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat, petang tadi.

Tambah beliau, MITI peka fasilitasi pelaburan merupakan elemen penting dalam ekosistem pelaburan yang untuk menarik usaha-usaha pelabur baharu.

“Kementerian menyedari dan peka bahawa fasilitasi pelaburan merupakan elemen penting dalam ekosistem pelaburan yang melangkaui usaha-usaha menarik pelabur baharu termasuk memberi sokongan secara ‘end to end’ kepada pelabur sejak awal bertapak di negara ini.

“Ia juga penting bagi menggalakkan pelaburan semula dalam negara dan usaha ini memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan untuk menggubal dasar dan rangka kerja pentadbiran yang telus dan cekap untuk meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya lagi.

Seterusnya kata Tengku Zafrul, kerajaan juga dalam proses menyusun semula landskap Agensi Penggalakan Pelaburan atau Investment Promotion Agency (IPA) negara dimulai dengan penyelarasan fungsi dan peranan Koridor Ekonomi Wilayah berkaitan pelaburan menerusi rasionalisasi IPA.

“Langkah ini adalah penting dalam memastikan Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi menjamin penyampaian perkhidmatan IPA yang lebih sistematik dan terurus serta program penggalakkan pelaburan yang lebih berkesan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.