Isu Buli Di Sekolah, Kemampuan Polis Tangani Jenayah Siber Dikupas Di Dewan Hari Ini

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Persoalan berhubung usaha mengatasi masalah buli di sekolah dan langkah kerajaan meningkatkan kemampuan polis dalam menangani trend jenayah siber antara isu yang akan dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, persoalan mengenai isu buli di sekolah yang semakin berleluasa akan diajukan oleh Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) kepada menteri pendidikan dalam sesi soal jawab lisan.

Pada sesi sama, Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) dijadualkan bertanya kepada menteri dalam negeri berhubung langkah kerajaan meningkatkan kelengkapan dan kemampuan polis bagi menangani trend jenayah siber.

Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) pula meminta menteri kewangan menyatakan inisiatif kerajaan untuk menggembleng kewangan hijau Islam (Islamic green finance) bagi menampung sebahagian pembiayaan menjayakan agenda negara karbon neutral menjelang 2050 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Sementara itu, hal berkenaan jumlah kanak-kanak bawah seliaan Institusi Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang masih belum mendapat dokumen pengenalan diri akan dibangkitkan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) kepada menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Usai sesi itu, sidang Dewan Rakyat akan menyambung semula sesi penggulungan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 oleh beberapa kementerian.

Penggulungan oleh kementerian itu dijadual berlangsung selama empat hari bermula Isnin, seterusnya diikuti perbahasan pada peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 Nov.

Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Okt hingga 30 Nov. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.