Bersama Bersolidariti, Pupuk Semangat Perpaduan Dalam Kalangan Ahli – Mohd Zaidy

JEMPOL, 1 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata pelantikannya dan dua yang lain sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jempol merupakan satu contoh kepimpinan akar umbi bersolidariti demi kekuatan parti.

Mohd Zaidy mengucapkan terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Mustapha Nagoor yang juga ADUN Palong atas kepercayaan yang telah diberikan.

Begitu juga penghargaan kepada Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias yang turut memberi sokongan kepadanya menjawat jawatan tersebut.

“Ini menunjukkan solidariti untuk menyatupadukan akar umbi supaya kita memupuk sifat perpaduan dalam parti. Parti akan kuat, tiada lagi pertelingkahan dan masalah dalaman. Kita ada dalam masa empat ke lima tahun untuk menempuh Pilihan Raya Umum (PRU) yang keenam belas.

“Jadi sama-samalah kita memupuk semangat perpaduan dalam parti kita demi kebaikan semua. Kita hendak pastikan parti kita kuat di masa akan datang, UMNO juga kuat untuk menempuh PRU16,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.

Dua lagi yang dilantik adalah Ahli Parlimen Jempol Datuk Shamshulkahar Mohd Deli dan peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Dalam perkembangan yang lain, sebagai seorang wakil rakyat yang pertama kali bertanding dan menang, Mohd Zaidy berazam masyarakat di kawasannya turut bersatu padu di bawah satu rumpun rakyat Malaysia.

“Pertamanya saya ucapkan terima kasih kepada masyarakat Jeram Padang yang telah mengundi saya pada tempoh hari seterusnya memenanginya dan menjadikan saya wakil rakyat untuk masyarakat di Jeram Padang.

“Saya mahu pastikan masyarakat Jeram Padang ini bersatu padu di bawah satu rumpun rakyat Malaysia yang terdiri daripada bangsa India, Cina, Melayu dan orang Asli yang menunjukkan bahawa perpaduan hari ini akan memastikan kita berada dalam kemakmuran dan keharmonian,” katanya.

Manakala dari segi infrastruktur dan fasiliti awam, Mohd Zaidy telah mengangkatnya ke sidang DUN Negeri Sembilan tempoh hari berkenaan padang awam yang lengkap dan sempurna untuk kemudahan masyarakat terutama pelajar sekolah.

Begitu juga soal pembinaan dan pemilikan rumah kos rendah untuk rakyat di Jeram Padang serta jalan perhubungan, lampu jalan dan landskap yang perlu mendapat perhatian yang sewajarnya dari kerajaan.

Tambahnya lagi, dari segi pendidikan terutama pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), beliau dalam usaha mengenal pasti anak-anak muda Jeram Padang untuk mengambil kursus-kursus yang berkaitan. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.