Belanjawan Bukti Komitmen Kerajaan, Perkasa Ekonomi Negara Dan Rakyat – Imran

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berpandangan Belanjawan 2024 memperlihatkan komitmen kerajaan dalam mempertingkat ekonomi negara sekaligus membawa manfaat kepada rakyat secara holistik.

Menurut beliau, ia tidak hanya menumpukan kepada aspek mikro ekonomi bahkan kepada keseluruhan lapisan rakyat di negara ini.

“Sudah pasti yang paling mustahak bagaimana untuk kita mempertingkatkan ekonomi rakyat bukan sahaja mikro ekonomi tetapi juga menyeluruh. Rakyat dalam negara ini ada pelbagai segmen iaitu mereka yang tinggal di bandar dan luar bandar,” katanya

Beliau berkata demikian pada program Apa Cerita: Kupasan Bajet 2023- Impak Pada Rakyat yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Imran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar berkata belanjawan ini juga memberi harapan baharu kepada ekonomi negara selepas berhadapan cabaran ekonomi dan ketidaktentuan politik.

“Ini memberi nafas baharu kepada rakyat dalam kerajaan merencana dan memastikan pelaksanaan bajet yang telah dibentangkan itu sampai terus kepada rakyat.

“Saya percaya setiap daripada belanjawan ini telah diteliti dengan penglibatan pemegang taruh supaya ia menumpu terus kepada agenda pembangunan negara dan rakyat. Khususnya negara baru sahaja melepasi tempoh yang begitu sukar dalam beberapa tahun yang lepas apabila berhadapan dengan COVID-19, cabaran ekonomi dan ketidaktentuan politik,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Imran berpandangan kerajaan menekankan penyelesaian dan penyesuaian jangka masa panjang supaya negara dapat terus bersaing dalam memberi kelebihan untuk manfaat dan hasil pendapatan negara.

Katanya ini termasuk pelaksanaan subsidi bersasar berbanding subsidi menyeluruh sebelum ini yang ternyata membawa beban kepada kerajaan dengan peruntukkan jumlah yang tinggi.

“Ini telah lama dibahas serta beberapa penilaian dalam melaksanakannya. Kerana beberapa subsidi yang diberikan secara pukal ini memang akan menjadi satu beban atau nilai perbelanjaan besar kepada negara.

“Jadi kita kena lihat satu kaedah untuk pastikan hasil negara ini diagih dan diberi kepada kumpulan sasar yang tepat. Di samping memberikan daya tahan kepada ekonomi negara dan juga kerajaan supaya ia tidak menjadi satu beban,” ujar beliau.

Imran juga menyambut baik dengan aspirasi kerajaan yang menekankan pembinaan modal insan melalui pendidikan yang baik kepada manfaat kepada generasi muda negara.

“Memang sesuai Kementerian Pendidikan mendapat agihan belanja yang besar kerana saya yakin dengan adanya pendidikan yang baik ini akan menjanjikan peluang yang baik kepada anak muda khususnya adik-adik di peringkat sekolah.

“Sudah tentunya ia akan melonjakkan ekonomi, nilai kepada diri seseorang itu dan dapat membentuk negara bangsa yang dihormati dan disegani. Semuanya bermula dengan pendidikan.

“Betul ada yang memberikan pelbagai pandangan kepada Perdana Menteri bagaimana beliau menfokuskan Kerajaan Perpaduan ini kepada sektor pendidikan walaupun sekecil-kecil pembangunan prasarana tandas sekolah dan sebagainya,” ujar beliau.

Terdahulu pada pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM393.8 bilion merangkumi RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.