UMNO Mesti Bijak Membaca Citarasa Rakyat – Dr Shamsul Anuar

KOTA KINABALU, 31 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata parti itu mesti perkukuhkan kekuatan, kerana apabila UMNO kukuh dan kuat ia akan dihormati sesiapa sahaja.

Justeru katanya memperkukuhkan lagi perpaduan adalah satu perkara yang amat utama bagi UMNO dan pada masa yang sama parti juga perlu dilihat popular dan cukup penting.

“UMNO juga mesti popular bukan hanya di kalangan ahli atau penyokong tetapi lebih utama UMNO mesti popular dan penting pada rakyat.

“Persoalannya bagaimana UMNO mahu kuat dan popular pada rakyat… pada saya, antaranya kita mesti bijak membaca citarasa rakyat dan memenuhi kehendak mereka. Semua ini penting kerana landskap politik sudah berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi TOWN HALL anjuran Penerangan UNNO Sabah, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi hakikatnya rakyat bijak dan mereka mampu menilai dan memilih.

“Maka, apa sahaja pertimbangan atau percaturan politik yang hendak dilakukan kita mesti mempunyai kebijaksanaan membaca keinginan ahli dan rakyat serta apa yang akan berlaku seterusnya agar apa yang kita lakukan tidak hanya kita yang suka tetapi tetapi ditolak rakyat. 

“Perlu diingat… masa depan parti kita bergantung kepada penerimaan rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.