Mangsa Kemalangan Boleh Kemukakan Tuntutan Melalui Penasihat Undang-Undang Kementerian Kerja Raya

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Mangsa kemalangan boleh menyalurkan tuntutan kepada syarikat konsesi dengan mengemukakan laporan polis, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Menurutnya, laporan tuntutan tersebut mesti melalui Penasihat Undang-undang (Kementerian Kerja Raya) berdasarkan lokasi yang berlaku.

“Mangsa kemalangan boleh mengemukakan tuntutan melalui Penasihat Undang-undang (KKR) yang akan menyalurkan tuntutan pihak ketiga kepada syarikat konsesi berdasarkan had penyelenggaraan masing-masing di mana lokasi tersebut berlaku dan kita ada siasatan kerana tidak terus letakkan kepercayaan pada mereka yang membuat aduan.

“Pihak ketiga perlu mengemukakan maklumat lengkap kejadian bersama-sama laporan polis iaitu (POL. 27), gambar kejadian, penilaian tuntutan (claim evaluation) dan lain-lain. Penyelesaian tuntutan tersebut akan diurus sepenuhnya oleh pihak konsesi sama ada konsesi lebuhraya atau jalan-jalan persekutuan dan ini boleh dikemukakan pada mereka,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang meminta kerajaan menyatakan hak pengguna apabila berlaku kemalangan dan kerosakan yang membabitkan kenderaan ekoran kesilapan yang dilakukan oleh pihak kontraktor yang melakukan kerja-kerja pembaikan terutamanya di kawasan luar bandar.

Abdul Rahman seterusnya berkata mereka yang tidak berpuas hati boleh mengambil tindakan selanjutnya menerusi tuntutan sivil.

“Dalam situasi pihak ketiga tidak berpuas hati dengan cadangan penyelesaian, kalau tidak puas hati pihak ketiga boleh membuat tuntutan sivil di mahkamah yang akan bersedia untuk tindakan-tindakan tersebut,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.