KPT Sasar Anak Muda Ikuti Pengajian Berdasarkan Minat, Tidak Wujudkan IPT Setiap Parlimen – Khaled

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian tidak menjadikan dasar untuk mewujudkan setiap kawasan Parlimen mempunyai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebaliknya menyasarkan untuk anak-anak muda mengikuti pengajian di IPT yang terbaik mengikut bidang dan minat mereka di mana saja IPT itu berada.

Menurut beliau Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga tidak meletakkan sasaran untuk memastikan pelajar dapat mengikuti pengajian tinggi di institusi paling hampir dengan tempat lahir atau tempat tinggal masing-masing.

“Bermula pada tahun ini, KPT telah memperkenalkan dasar pengajian anjal yang membenarkan pelajar hanya mengikut pengajian secara fizikal pada tahun pertama dan terakhir sahaja bagi 74 program pengajian terpilih.

“Ini membolehkan kita meningkatkan akses dan mengambil lebih ramai pelajar bagi mengisi tempat di IPT sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Rakyat, semalam.

Khaled Nordin seterusnya menambah sebagai amalan baharu, pembinaan Politeknik dan Kolej Komuniti selepas ini akan memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan yang tidak mempunyai apa-apa institusi latihan lain seperti Pusat Giat MARA, Institut Kemahiran MARA dan sebagainya.

“Walaubagaimanapun, seperti yang saya nyatakan sebentar tadi, kesemua permintaan ini akan diberikan perhatian untuk dimasukkan ke dalam RMK-13 (Rancangan Malaysia Ketiga Belas) kelak untuk pertimbangan kerajaan,” ujarnya.

Berhubung status projek pembinaan IPT yang telah diluluskan sebelum ini, Khaled memaklumkan di bawah Belanjawan 2024, sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja awalan melibatkan pelbagai Politeknik termasuklah Politeknik Kota Belud, Sabah.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.