Khaled Tegaskan Program TVET KPT Memberangsangkan, Catat Peningkatan Kemasukan

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebenarnya menunjukkan kemasukan yang konsisten dan berada pada tahap tertinggi sejak 3 tahun terkini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata terdapat peningkatan bilangan enrolmen pelajar peringkat diploma bagi program TVET di bawah KPT, iaitu 52.7% atau 85,535 pelajar pada tahun 2022 berbanding 45.3% atau 58,424 pelajar pada tahun 2021.

“Terbaharu, kemasukan ke politeknik bagi Sesi 1: 2023/2024 adalah seramai 20,520 orang, iaitu peningkatan lebih 20% berbanding sesi yang sama pada tahun 2022/2023 iaitu seramai 16,962.

“Dan bagi semua program TVET yang diuruskan oleh KPT (sama ada di politeknik atau pun MTUN – Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia), sebanyak 79.6% daripada tempat yang tersedia telah diisi dengan jumlah enrolmen semasa mencecah kira-kira 144,816 pelajar secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi KPT di Dewan Rakyat, semalam.

Behubung cadangan agar hanya satu kementerian sahaja yang menguruskan program TVET, Khaled menjelaskan pengajian TVET mempunyai banyak kumpulan sasar dan peringkat pengajian iaitu daripada sijil sehinggalah kepada ijazah dah pasca siswazah.

“Setiap kementerian dan agensi mempunyai fokus dan kumpulan sasar tersendiri dan kebanyakannya adalah pelatih peringkat sijil. Manakala program TVET di bawah KPT pula, sekali pun terdapat di semua peringkat, lebih memfokuskan kepada program peringkat diploma dan ke atas.

“Sistem dan penawaran yang pelbagai ini tidak mendatang apa-apa masalah kepada para pemohon dan pelatih. Malah, ia memberi pilihan kepada mereka.

“Dan sekali pun terdapat beberapa kekurangan terpencil, kita mempunyai Majlis TVET Negara di bawah Kementerian Sumber Manusia yang menyelaras perkara-perkara berkaitan TVET ini secara bersama-sama antara pelbagai kementerian dan agensi,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.