Keahlian Baharu Bertambah, UMNO Tetap Jadi Pilihan Sebagai Platform Perjuangan – Azuwan

KOTA BELUD, 31 Okt – Walaupun dilabel sebagai sebuah parti tidak popular terutama dalam kalangan anak muda, UMNO masih relevan dan tetap menjadi pilihan apabila menerima lebih 150 orang yang majoritinya dari kalangan belia yang memohon menjadi ahli di Bahagian Kota Belud.

Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan berkata ini membuktikan UMNO sebagai parti keramat masih relevan di kalangan anak muda yang memilih parti terbabit sebagai wadah perjuangan untuk masa depan.

“Ini satu petunjuk positif yang parti kita masih ada pendukungnya, masih ramai ingin turut serta dan UMNO parti sentiasa terbuka,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat penaja UMNO Cawangan Melungkut, Kota Belud kelmarin.

Menurut Azuwan, bagi menarik lebih ramai anak muda menyertai UMNO pendekatan yang lebih holisitik perlu dilakukan kepada golongan ini sesuai dengan cita rasa mereka.

“Peranan ini boleh dilakukan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO dengan pendekatan yang lebih efisien selari cita rasa golongan muda sama ada melalui penganjuran program-program sukan, kebajikan, pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Menurut Azuwan lagi amanah untuk mendekati dan memikat hati golongan pengundi 18 tahun ini bukan semata-mata terletak pada bahu Pergerakan Pemuda atau Puteri UMNO namun ianya menjadi tanggungjawab semua pemimpin akar umbi.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, seluruh kepimpinan bahagian perlu fokus dengan komitmen bagi memastikan golongan muda menjadi pengundi parti dan membina idealisme supaya memahami hakikat perjuangan sebenar UMNO.

“Ramainya ahli ini tidak akan bermakna sekiranya tidak dapat digemblengkan kepada usaha menggerakkan mereka untuk bersama dengan agenda parti dan diterjemahkan ke atas kertas.

“Jadikanlah mesyuarat penaja ini sebagai pentas menyuntik kefahaman terhadap isu yang melingkari lingkungan masyarakat untuk manifestasi perjuangan masa hadapan.

“Paling penting mencari pendekatan baharu untuk meraih dan mengembalikan sokongan dan keyakinan agar UMNO kembali kukuh,” katanya lagi.

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.