Bawa Permasalahan Rakyat Di Parlimen, Bukannya Idea Merapu – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin meminta Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah agar menggunakan sesi Sidang Dewan Rakyat bagi menyuarakan masalah rakyat di pulau berkenaan.

Bagi beliau, Ahli Parlimen Langkawi itu perlu berhenti mengeluarkan kenyataan ‘merapu’ dan memalukan kerana yang penting suara masyarakat setempat dibawa sebaiknya.

“Pesanan saya pada Ahli Parlimen Langkawi, gunakan pentas Dewan Rakyat untuk suarakan masalah rakyat Langkawi yang perlukan perhatian wakil rakyat ‘Greater Kedah’ antaranya masalah feri yang berhubung kait soal monopoli, kartel, dan masalah pasang surut air laut menghadkan bilangan kekerapan operasi feri.

“Jumlah yang sangat terhad ini membawa kepada penurunan masuk pelancong asing yang sememangnya menyebabkan masalah rantaian industri pelancongan di Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Shaiful seterusnya menambah permasalahan lain juga turut melibatkan industri hotel yang semakin suram dengan penurunan kemasukan pelancong terutama hotel bertaraf tiga bintang ke bawah.

“Turut terjejas  juga pengusaha ‘homestay’. Banyak yang dah gulung tikar dan banyak juga tengah tunggu ‘masa’… begitu juga industri teksi yang turut berkait dengan kemasukan pelancong.

“Ada juga rungutan soal harga barang dan makanan yang meningkat gara-gara kekurangan pelancong menyebabkan peniaga terpaksa menjual barang dengan harga yang tidak berpatutan kerana mahu menampung kos. Hakikatnya bercuti di Phuket dan Hatyai lagi murah,” tambahnya.

Pada masa yang sama beliau secara sinis melontarkan pesanan agar Ahli Parlimen Langkawi itu berhenti daripada mengeluarkan idea merapu termasuklah mahu membina terowong bawah laut ala MRT daripada Alor Setar ke Langkawi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.