UMNO Tak Banyak Alasan, Khidmat Untuk Rakyat… Susah Senang, Kalah Menang Bersama – Tengku Hafiz
PUTRAJAYA, 30 Okt – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Tengku Muhammad Hafiz Tengku Adnan menegaskan bahawa khidmat UMNO untuk rakyat dilaksana setiap masa sama ada parti tersebut menang atau kalah sekalipun tidak lagi menjadi pentadbir di kawasan Parlimen terbabit.
Ujarnya yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, usaha bagi mengembalikan kekuatan UMNO dengan parti ini terus kukuh dan mendapat sokongan dari segenap lapisan masyarakat sentiasa dilaksana.
“Ambillah contoh bagaimana UMNO Putrajaya sendiri bergerak, dari ketua bahagiannya menjadi ahli Parlimen dalam keadaan parti menjadi pembangkang di pusat pada penggal lalu dan hari ini kawasan terbabit berada dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sekalipun UMNO sudah menjadi sebahagian daripada pentadbir Persekutuan.
“Namun malangnya, mana ahli Parlimen PN yang menjanjikan era baharu kerana yang ada banyak alasan sedangkan rakyat mahu meneruskan kehidupan. Alasan bukan kerajaan pusat atau bukan menteri yang acapkali dinyatakan oleh kepimpinan PN sememangnya tidak boleh diterima.
“Pada penggal lalu Tengku Adnan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) menjadi ahli Parlimen pembangkang namun bantuan untuk rakyat tetap berjalan, klinik rakyat dibuka, bantuan beras, ikan, ayam, telur, daging dan barangan lain disalurkan dengan biro kebajikan bekerja setiap masa termasuk sewaktu COVID-19 melanda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Sembang Santai Semarak Lavender yang berlangsung di sini, semalam.
Tengku Hafiz meminta warga setempat untuk melakukan perbandingan malah membidas pemimpin PN yang hanya menggunakan alasan tiada duit kerana bukan kerajaan pusat.
“Ahli Parlimen Putrajaya sekarang menggunakan alasan tidak dapat membantu kerana ahli Parlimen pembangkang tidak ada duit… sesuatu yang tidak boleh diterima kerana mereka hanya mengharapkan duit dari pusat untuk bekerja?
“Sekarang ini sekalipun Tengku Adnan bukan lagi ahli Parlimen, bukan menteri dan tidak ada jawatan dalam kerajaan namun bantuan kepada rakyat yang pernah dilaksana dalam urusan perkhidmatan dan kebajikan masih diteruskan.
“Beliau tetap membantu rakyat, dari klinik rakyat KuNan yang masih beroperasi hinggalah kepada bantuan pengurusan jenazah secara percuma masih tetap dilaksanakan kerana sememangnya kepimpinan UMNO sentiasa ‘ready’ untuk bekerja kepada rakyat.”
Selari dengan itu, beliau meminta anggota parti akar umbi khususnya jentera penerangan UMNO untuk terus memainkan peranan bagi menolak pelbagai persepsi negatif berkaitan parti.
“Penerangan UMNO di semua peringkat termasuklah Cawangan di akar umbi memainkan peranan yang penting untuk politik masa depan yang ‘revolve around’ persepsi,” katanya lagi.
Dalam program ini juga, Tengku Muhammad Hafiz turut melaksanakan penyerahan Kad Klinik KuNan kepada ahli-ahli cawangan UMNO Lavender dengan turut disertai Naib Ketua Bahagiannya, Datuk Hisamuddin Yahaya. – UMNO Online