Jabatan Bantuan Guaman Realisasikan Penyampaian Khidmat Guaman Kepada Rakyat Yang Memerlukan – Azalina

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said memaklumkan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) memfokuskan kepada tiga kategori khidmat bantuan guaman.

Katanya ia dalam aspek bantuan prosiding sivil, prosiding syariah dan prosiding jenayah khusus bagi kes pengakuan kesalahan.

Menurut beliau pelbagai usaha pemerkasaan perkhidmatan bantuan guaman sedang dilaksanakan termasuk perkhidmatan pengantaraan secara dalam talian dengan membantu mahkamah menggalakkan penyelesaian luar mahkamah.

“Meningkatkan penglibatan lebih ramai peguam swasta untuk menjadi peguam panel JBG bagi membolehkan pengurusan litigasi sivil dan syariah secara berasingan dan berfokus.

“Pelantikan peguam panel di bawah JBG diperluas dalam penyediaan khidmat pendamping guaman bagi kes-kes jenayah yang melibatkan mangsa kanak-kanak khususnya yang menjadi mangsa jenayah seksual.

“Perkongsian pintar dengan NGO yang berintipati kepada hal ehwal kebajikan kanak-kanak bagi meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab yang berkaitan dengan hak kanak-kanak.

“Dan memperkasa hebahan fungsi dan peranan JBG melalui platform yang lebih luas seperti hebahan melalui arus perdana, radio dan televisyen serta program promosi dan kesedaran masyarakat,” katanya.

Azalina berkata demikian pada Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2024 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu bagi tahun 2024 pula, beliau berkata Kerajaan Perpaduan kekal tekad ke arah memperkasa lagi perkhidmatan JBG dengan peruntukan tambahan sebanyak RM3 juta.

“Ianya bagi lantikan sementara bagi menyokong JBG dan memperluas pengendalian klinik guaman bergerak di kawasan pedalaman atas prinsip justice on wheels,” ujar beliau.

Kata beliau ianya bagi memastikan rakyat di kawasan-kawasan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak mendapat memperoleh akses kepada keadilan.

Sementara itu menyentuh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Azalina berkata, ianya merupakan badan yang diperbadankan di bawah seksyen 16 Akta Syarikat 1965 sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan dan bertaraf syarikat khairat.

“YBGK mengendalikan kes-kes jenayah, khususnya bagi maksud reman, perbicaraan dan rayuan prosiding jenayah dengan menggunakan peruntukan kewangan Kerajaan.

“Kerajaan melalui Jabatan Audit Negara selaras dengan Akta Audit 1957 (Akta 62) boleh audit YBGK dalam memastikan elemen akauntabiliti dalam pentadbiran dana awam dengan sebaik mungkin bagi kegunaan pembelaan awam,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.