Asyraf Teruskan Lawatan Kerja, Jalin Kerjasama Konglomerat Serta Universiti Di Perancis Dan Jerman

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Pengerusi MARA yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan meneruskan lawatan kerjanya ke Perancis dan Jerman.

Lawatan tersebut untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat konglomerat dan institusi-institusi pendidikan tinggi negara tersebut dalam pelbagai bidang pengajian terutama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Terdahulu di London beliau mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan sesi dialog dan ramah mesra dengan pelajar-pelajar Malaysia di sana.

Dalam sesi dialog tersebut banyak pandangan dan soalan-soalan dibangkitkan para pelajar terkait dengan kos pengajian dan sara hidup yang kian meningkat.

“Ramai sungguh yang hadir sehingga melangkaui jumlah asal yang mendaftarkan diri. Namun, alhamdulillah saya sudah minta dari awal lagi agar MARA sediakan melebihkan makanan kerana takut-takut ada yang hadir tanpa pemakluman awal.

“Saya sempat berkongsikan hasil lawatan awal saya dan pertemuan dengan beberapa universiti termasuk Edinburgh, Birmingham, Warwick, Sheffield dan London sebelum kedatangan TPM khususnya berkenaan dengan kesediaan mereka untuk menimbang permintaan saya mewakili MARA untuk mendapatkan diskaun pengajian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Asyraf memaklumkan hasil pertemuan dengan pihak universiti, mereka menyatakan komitmen untuk memberikan diskaun yuran pengajian.

“Alhamdulillah secara prinsip, mereka setuju untuk memberikan diskaun sebanyak 20 hingga 25 peratus. Bermakna kalau purata kos pengajian £30,000 setahun, jika 25 peratus diskaun bererti £7,500 penjimatan setiap pelajar bagi setiap semester (lebih kurang RM45,000 jimat bagi seorang pelajar).

“Insya-Allah saya sudah minta Pengarah MARA London untuk buat tindakan susulan dengan pihak universiti yang sudah menyatakan komitmen tersebut kepada saya,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.