Wanita UMNO Malaysia Anjur Majlis Solat Hajat Tanda Prihatin Nasib Rakyat Gaza Dan Najib

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Wanita UMNO Malaysia menganjurkan majlis solat hajat sebagai tanda keprihatinan dengan perkembangan semasa umat Islam di Gaza dan tanda solidariti ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Diadakan di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam, ianya dihadiri oleh 300 orang Wanita UMNO seluruh negara yang memakai pakaian serba putih.

Dibimbing oleh Ustazah Rosnah Yasis, mereka menunaikan solat hajat, bacaan yasin dan doa selamat.

Sementara itu, Pelancaran Tabung buat Gaza juga turut sama diadakan bagi menggerakkan sumbangan untuk membantu meringankan penderitaan penduduk di Palestin yang menjadi mangsa kekejaman zionis.

“Tabung buat Gaza, Palestin Wanita UMNO Malaysia yang dilancarkan merupakan inisiatif keprihatinan dan tanda solidariti serta semangat kemanusiaan Wanita UMNO terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Tabung ini akan digerakkan oleh Skuad Sayang di setiap negeri dan bahagian-bahagian bagi tempoh 2 minggu bermula hari ini (semalam),” kata Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi perkongsian di Facebook.

Untuk rekod, 2.3 juta penduduk Gaza kini telah kehabisan bahan keperluan asas sejak Israel menutup wilayah itu berikutan serangan yang meletus 7 Oktober lalu.

Keadaan di Gaza sudah semakin nazak seakan tiada harapan untuk pulih apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengakui tidak lagi dapat menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin dalam skala besar berikutan bahan api, bekalan makanan serta keperluan lain yang diperoleh badan itu semakin terhad. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.