Puteri UMNO Kecam Tindakan MP Langkawi, Rendahkan Maruah Dan Diskriminasi Terhadap Wanita

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengkritik tindakan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang mengeluarkan kata-kata berbaur seksis ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata sebagai wakil rakyat beliau seharusnya menunjukkan contoh yang baik dan bersikap profesional.

Kenyataan itu dibuat Mohd Suhaimi kepada Teresa Kok (PH-Seputeh) yang bangkit mencelah ucapannya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024.

“Kami mengecam sekeras kerasnya siapa sahaja yang mengeluarkan kenyataan bersifat lucah, seksis, merendahkan maruah dan diskriminasi terhadap wanita.

“Sebagai wakil rakyat yang dipilih mestilah menunjukkan contoh yang baik dan menjawab tiap soalan secara profesional.

“Ini bukan lagi isu politik tetapi sikap biadap wakil rakyat seperti ini tidak sepatutnya jadi amalan di negara kita. Walaupun dikatakan soalan provokasi, namun ia bukan alasan untuk menghalalkan tindakan balas sedemikian,” katanya.

Pada sidang Dewan Rakyat itu, Kok bertanyakan sama ada boleh datang ke Langkawi dengan memakai seluar pendek.

Mohd Suhaimi kemudiannya berseloroh dengan mengatakan ‘Seputeh (Kok) datang (ke Langkawi) tak mahu pakai apa-apa pun tak apa’ sebelum mencetus situasi gamat dalam dewan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.