Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera Diadakan Disember, Himpun Input Seluruh Kepimpinan UMNO


KUALA LUMPUR, 27 Okt – Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Disember ini, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurutnya, ia akan menghimpunkan pemimpin-pemimpin UMNO daripada 191 bahagian seluruh negara bagi mendapatkan pandangan untuk memperkasa ekonomi bumiputera.

Beliau yang merupakan penganjur berkata, intipati daripada kolokium tersebut seterusnya akan dibawa ke Kongres Ekonomi Bumiputera.

“Kolokium ini akan diadakan dalam minggu pertama Disember, untuk dapatkan semua maklum balas dan kemudian diserahkan kepada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bawa kepada kerajaan sebagai Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera ini

“Peserta kolokium ini terdiri daripada pemimpin UMNO iaitu Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Pemuda, Puteri, Biro Ekonomi Bahagian yang berhadapan dengan kekangan ekonomi orang Melayu khususnya melibatkan politikal parti.

“Jadi dalam proses itu UMNO secara tidak langsung, sebagai parti yang mempunyai ramai pemimpin-pemimpin Melayu yang ada di seluruh negara, kita nak dapatkan maklum balas daripada mereka,” katanya.

Johari yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Ekonomi, Pelaburan dan Kewangan UMNO berkata pengunjuran ini akan membincangan ekonomi, pendidikan, kewangan dan keseluruhan aspek yang membawa kepentingan kepada pembangunan Bumiputera.

“Kali ini kita hendak tengok apakah hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputera yang lepas sama ada matlamat itu tercapai atau tidak. Kalau tidak tercapai, apakah sebabnya.

“… dan bagaimana kita hendak meningkat pencapaian ini kerana kekuatan ekonomi Bumiputera juga penting kerana ianya dapat membantu bangunkan negara agar orang Melayu dapat meningkatkan kuasa beli.

“Maka dengan ini seluruh negara ini akan dapat manfaat sebab kita merupakan kuasa pembeli,” ujar beliau.

Untuk rekod, kerajaan akan menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera pada Januari depan yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Pelantikan Johari sebagai penganjur Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera diumumkan Setiausaha Agung parti, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang diadakan minggu lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.