Isu Palestin Perlu Dibela, Puteri UMNO Gerakkan Tabung Sumbangan Kemanusiaan – Nurshaidatul Akhmar

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Exco Puteri UMNO Malaysia, Nurshaidatul Akhmar Sahrudin memaklumkan bahawa pergerakan terbabit telah melancarkan satu tabung sumbangan kemanusiaan bagi rakyat Palestin 

Katanya, tabung ini digerakkan di 191 bahagian UMNO untuk pelaksanaan kutipan yang akan disalurkan terus ke Wisma Putra bagi tindakan seterusnya khusus untuk rakyat Palestin.

“Ini adalah salah satu inisiatif Pergerakan Puteri UMNO untuk membantu dan memastikan pembelaan terhadap rakyat Palestin. Kita tidak mampu memberi pertolongan secara fizikal, maka dengan pertolongan yang kecil ini dapat membantu mereka,” ujarnya.

Berkaitan isu Palestin, Nurshaidatul Akhmar menegaskan bahawa wanita dan kanak-kanak Palestin harus dilindungi dan bukannya menjadi korban.

Katanya, hak melindungi wanita dan kanak-kanak sangat diperlukan dan bukan hanya memandang remeh terhadapnya sebagai satu alat medium kepentingan semata-mata.

“Wanita dan kanak-kanak adalah individu yang perlu dilindungi dan bukannya memandang rendah serta mengorbankan mereka untuk kepentingan masing-masing. Wanita dan anak-anak tidak boleh dijadikan platform untuk memudahkan dan menghalalkan apa-apa keputusan yang dibuat bagi membenarkan peperangan itu terjadi.

“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merasakan perkara ini tidak adil terutamanya pada kanak-kanak dan wanita yang sewajarnya dibela. Kita harap lebih ramai yang peka dan sedar tentang isu Palestin ini.

“Hampir separuh tempat tinggal rakyat Palestin sudah hancur akibat dibom oleh Israel dan 1.4 juta rakyat hilang tempat berlindung. Ini adalah satu perkara yang sangat menakutkan terutamanya anak-anak kecil yang kini tiada tempat bergantung,” katanya.

Beliau berkata demikian di Facebook UMNO Online dalam Segmen Apa Cerita …. Palestin: Konflik Agama atau Kemanusiaan. Turut menjadi panel ialah Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin.

Nurshaidatul Akhmar yang juga Biro Keamanan dan Keselamatan Sosial juga menggesa kuasa-kuasa besar supaya berlaku adil serta tidak bertindak pilih kasih dalam konflik Palestin dan Israel yang memuncak ketika ini.

“Kita perlu menerapkan sifat kemanusiaan dan membela serta perlu menekan pelaksanaan undang-undang yang sepatutnya. Undang-undang perlu diletakkan pada tempat yang sepatutnya dalam isu rakyat Palestin,” jelas beliau.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 2,000 ribu kanak-kanak telah dibunuh Israel sejak peperangan tercetus pada 7 Oktober lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.