Gagasan Rumpun Selangor (RMS) Demi Kemakmuran, Kesepaduan Rakyat – Rizam

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Exco Kemajuan Desa dan Perpaduan Negeri Selangor Datuk Rizam Ismail bersyukur atas perkenan untuk menerima mengadap Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Muda Selangor pada Khamis pagi.

Dalam satu catatan di Facebook, pada majlis mengadap itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar telah menyembah taklimat Gagasan Rumpun Selangor (RMS) yang merangkumi konsep, agenda utama dan perancangan yang akan bermula pada tahun 2024.

“Bagi mengeratkan hubungan institusi Diraja dan rakyat Selangor, saya juga telah menyembah maklum bagi menyila keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku ke Karnival Perpaduan Rumpun Selangor (Karnival RMS) di setiap daerah.

“Dengan pengisian-pengisian utama yang akan menyentuh identiti daerah dan potensi desa di kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada rencam kebudayaan Rumpun Selangor,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa dan Luar Bandar, Kemampanan Kampung Tradisi, Perpaduan Nasional, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri itu lagi.

Rizam yang juga Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam yakin kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari akan mendukung penuh RMS ini demi kemakmuran dan kesatupaduan negeri dan warga Rumpun Selangor.

“Sekali lagi, menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku menerima mengadap patik.

“Kita Selangor, bersatu sebagai Rumpun Selangor,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.