Satukan Pemikiran, Jadikan Penyatuan Keutamaan Untuk Kekuatan UMNO – Jalaluddin

JELEBU, 26 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata ahli parti baik akar umbi mahupun pemimpin perlu satukan pemikiran dalam menghadapi apa juga cabaran.

Kata Ketua UMNO Bahagian Jelebu itu, begitu juga dengan meletakkan agenda penyatuan di semua peringkat kepimpinan sebagai satu keutamaan supaya UMNO terus kukuh.

“Walaupun pilihan raya lambat lagi dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang, tapi persiapan pemikiran kita mesti bermula dari sekarang. Pemikiran setiap ahli UMNO, setiap pemimpin harus disatukan sebagai satu ketumbukan besar bagi kita menghadapi apa juga dugaan dan cabaran di dalam perjuangan kita.

“Kerana kita harus ingat sebagai sebuah parti yang besar daripada satu perkara kepada perkara yang lain, yang harus bagi setiap ahli UMNO dan kepimpinan menyediakan pemikiran mereka bagi menghadapi apa jua halangan dan dugaan yang sampai pada masa akan datang.

“Kita harus ingat bahawa sebagai parti lama dan besar, kita tidak terlepas daripada setiap ujian sama ada ujian dalaman ataupun luaran. Ujian dalaman inilah yang harus kita selesaikan tanpa bertangguh lagi di semua peringkat, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online ketika ditemui selepas siri Jelajah Akar Umbi Presiden bersama UMNO Bahagian Jelebu di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu, Simpang Pertang di sini baru-baru ini.

 

Seterusnya, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu yakin dan percaya jika setiap ahli dapat satukan pemikiran, UMNO akan jadi sebuah parti yang kukuh dan dominan.

Ulasnya lagi, setiap kepimpinan dari pelbagai peringkat perlu mencontohi sikap Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berjiwa besar mendengar pandangan akar umbi.

“Kalau kita tengok di Jempol tadi, Ketua Bahagian (Mustapha Nagoor) menyuarakan dari hati ke hati tentang kedudukan kepimpinan UMNO bahagian dan Presiden menerima secara terbuka dan menyelesaikan dengan penyelesaian yang sangat baik.

“Ini formula yang harus dipakai oleh setiap kepimpinan. Kalau Presiden boleh berjiwa besar dalam menerima keadaan dan kedudukan dalam pemikiran yang berlainan maka apatah lagi di peringkat kepimpinan bahagian.

“Kita tidak ada pilihan lain kecuali untuk menyatukan kesemua pemikiran kita menjadi satu aliran perjuangan yang sama bagi kepentingan UMNO, orang Melayu, agama dan untuk terus menjadi parti yang kebergantungan masyarakat dan rakyat ini kepada UMNO dan Barisan Nasional seperti dahulu,” tambahnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.