Naik Taraf Hospital Jempol Kepada Hospital Pakar Minor Untuk Manfaat Kepada Masyarakat – Shamsulkahar

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli meminta kerajaan menyatakan status berhubung cadangannya sebelum ini berhubung naik taraf Hospital Jempol Kepada Hospital Pakar Minor.

Menurut beliau dalam perbahasannya sebelum ini, beliau telah mencadangkan Hospital Jempol  dinaik taraf menjadi Hospital Pakar Minor untuk kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan menyeluruh untuk penduduk Jempol.

“Selain itu ianya akan dapat mengurangkan kesesakan pesakit di Hospital Pakar Tunku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah yang sebahagian besar pesakitnya adalah daripada Hospital Jempol yang dirujuk ke sana,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, petang semalam.

Kata beliau lagi, Hospital Jempol yang dibina pada 2005 atas kategori hospital moden dengan kapasiti 104 katil, empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dewan bedah dua katil yang sedia memberi perkhidmatan kesihatan kepada 155,000 penduduk Jempol.

“Berdasarkan lawatan saya baru-baru ini ke Hospital Jempol, saya mendapati beberapa peralatan canggih telah dibekalkan seperti mesin laser mata, mesin stress test dan x-ray digital. Melihat kepada latar belakang Hospital Jempol yang moden dan dilengkapi peralatan canggih, seharusnya ia diurus oleh doktor pakar sepenuh masa. Dengan kekurangan doktor pakar di Hospital Jempol, banyak kes terpaksa dirujuk ke Hospital Pakar Tunku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

“Dalam perbahasan sebelum ini, saya telah mencadangkan Hospital Jempol ini dinaiktaraf menjadi Hospital Pakar Minor untuk kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan menyeluruh untuk penduduk Jempol dan dapat mengurangkan kesesakan pesakit di HTAN, Kuala Pilah yang sebahagian besar pesakitnya adalah daripada Hospital Jempol yang dirujuk ke sana. Apakah status permohonan naiktaraf tersebut?” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.