Isu Palestin: Pendirian Malaysia Jelas, Berterusan Bangkitkan Isu Berat Sebelah Negara Barat – Zambry

 

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Pendirian Malaysia jelas dalam isu Palestin dan akan berterusan membangkitkan isu berat sebelah negara barat mengenai tindakan rejim zionis Israel.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia telah meningkatkan tahap tekanan tertinggi kepada masyarakat antarabangsa agar tidak terus menutup mata dan membenarkan kekejaman ini bermaharajalela.

 

“Saya percaya semenjak krisis melanda, Malaysia adalah negara yang paling lantang memperjuangkan isu Palestin dalam apa jua keadaan dan masa.

“Bahkan, jika ahli-ahli Yang Berhormat mengikuti pendirian Malaysia akhir-akhir ini, kita telah meningkatkan tahap tekanan tertinggi kepada masyarakat antarabangsa agar tidak terus menutup mata dan membenarkan rejim zionis bermaharajalela secara membabi buta melakukan pembunuhan ke atas orang awam termasuk wanita, kanak-kanak serta orang tua.

“Malaysia berterusan membangkitkan isu berat sebelah oleh pihak barat dalam isu kezaliman rejim zionis tanpa ada sebarang tindakan punitif. Adakah ini tindak-tanduk mereka acapkali mendabik dada sebagai pejuang hak asasi manusia?” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menyatakan dengan tegas pendirian Malaysia dalam beberapa forum antarabangsa sebelum ini.

“Pendirian Malaysia telah dirungkaikan dengan amat jelas oleh Perdana Menteri semasa Himpunan Malaysia bersama Palestin di Axiata Arena pada hari Selasa yang lalu sejurus beliau kembali dari lawatan ke Arab Saudi Turkiye dan Mesir.

“Demikian juga, beliau turut menyatakan pendirian dalam beberapa forum dan pertemuan antarabangsa termasuklah yang terbaharu dalam mesyuarat GCC Asean di Riyadh, Arab Saudi. Saya percaya ahli-ahli Yang Berhormat juga telah mengikuti rapat apa yang disampaikan Perdana Menteri.

“Terkini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan permohonan OIC dan Liga Arab dengan disokong oleh Malaysia, Brunei, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Timor Leste dan Vietnam untuk satu mesyuarat luar biasa tergempar di PBB mengenai isu Palestin. Ia akan dipengerusikan Presiden UNGA ke-78 pada jam 10.00 pagi, waktu New York hari ini,” katanya lagi.

Pada Selasa, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Malaysia mula dikritik dan ‘diserang’ oleh negara-negara kuasa besar susulan kelantangan membela hak Palestin.

Perdana Menteri menegaskan, bagaimanapun Malaysia tidak sesekali gentar dengan ugutan tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.