Hishammuddin Sambut Baik Usaha Penstrukturan Gaji, Cadang Libatkan Sektor Swasta Dan Peniaga

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyambut baik usaha kerajaan untuk melaksanakan semula penstrukturan gaji dan pemberian insentif tunai kepada penjawat awam serta mencadangkan agar sektor swasta turut dilibatkan.

Jelasnya, Belanjawan 2024 merupakan belanjawan terbesar dan setiap perancangan perlu diterjemahkan sebaik mungkin agar setiap lapisan masyarakat dapat merasai impaknya.

“Negara juga mesti menerima manfaatnya agar rakyat dan kerajaan mampu progres ke hadapan membina negara dan kehidupan. Secara umum, kerajaan ini telah tertubuh hampir setahun.

“Sepanjang tempoh tersebut saya merasakan kita sudah boleh dapat mengenal pasti apakah perkara menjadi keperluan untuk kerajaan memberi perhatian dan kepedulian yang lebih. Saya perhatikan, terdapat dua perkara utama yang menjadi kebimbangan ramai iaitu ekonomi negara dan rakyat.

“Hari ini, rakyat di luar sana sedang resah memikirkan tekanan perbelanjaan harian… resah akibat tidak mampu membeli keperluan harian dan walaupun Belanjawan 2024 ada menyebut bahawa kadar inflasi dalam negara semakin memulih,” katanya semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Menurutnya, kesukaran rakyat untuk mendapatkan keperluan asas perlu diberi lebih perhatian oleh pihak kerajaan.

“Namun, kesan sebenar di peringkat masyarakat belum dapat dirasai. Keresahan tersebut masih berterusan. Pertama, kesukaran rakyat untuk mendapatkan keperluan asas. Ini adalah perkara yang paling utama kepada kehidupan rakyat.

“Ada saya baca sampai tiga hari terputus bekalan beras. Ada pemborong yang menyorok beras, hendak beli beras tempatan sentiasa habis stok, terpaksalah beli beras import yang harganya jauh lebih mahal dan makin meningkat.

“Belum lagi ambil kira keluh kesah rakyat kenaikan harga keperluan asas yang lain terutamanya ayam dan telur. Saya ada baca keluhan pengguna tentang harga ayam yang mencecah harga siling. Ada RM9.40, ada RM10.50, ada sampai RM11.00 pun.

“Kenaikan harga ini bermula sebelum pengumuman untuk mengapungkan harga ayam dan telur. Jika sudah diapung nanti entah berapa pula harganya. Bekalan makanan asas seperti beras, telur dan ayam ini adalah permasalahan mikro yang melanda rakyat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat bahawa kerajaan dan agensi bertanggungjawab tidak boleh mengambil mudah soal kedudukan ekonomi negara yang semakin meruncing.

“Ini terkait hal kedua iaitu persepsi tentang harga barang naik tetapi gaji masih di takuk lama. Saya sambut baik pengumuman Perdana Menteri untuk melaksanakan semula penstrukturan gaji dan pemberian insentif tunai kepada penjawat awam namun ia juga harus terlaksana bagi pekerja swasta serta peniaga kecil dan sederhana. Barulah kesan menyeluruh dapat diperlihatkan pada hemat saya.

“Belum selesai belenggu berkait ekonomi rakyat, ini membawa kepada perkara ketiga iaitu cabaran besar bagi ekonomi negara. Saya mengikuti rapat ucapan Belanjawan 2024 yang telah menyatakan bahawa pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun daripada 5.6 peratus pada suku pertama 2023 kepada 2.9 peratus pada suku kedua.

“Kerajaan dan agensi bertanggungjawab tidak boleh ambil mudah apatah lagi kedudukan mata wang negara berada di tahap yang mencemaskan. Nilai ringgit telah jatuh ke paras terendah sejak 25 tahun lalu.

“Prestasi Bursa Malaysia juga masih belum memulih ke tahap pra-2018. Kombinasi tiga faktor ini pertumbuhan KDNK menurun, nilaian ringgit menurun dan prestasi bursa yang lemah perlu dilihat secara serius dan menyeluruh. Jika tidak, ia terus menambah tekanan kepada prestasi ekonomi negara dan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.