Tolak Perundingan Peruntukan Ahli Parlimen Pembangkang… Mohd Puad Nasihat PN Tidak Memusuhi Kerajaan

BATU PAHAT, 25 Okt – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dengan angkuh telah menolak tawaran perundingan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai runtukan ahli parlimen pembangkang sehingga menampakkan Perikatan Nasional (PN) begitu memusuhi kerajaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah menggesa kerajaan berlaku adil namun mereka sendiri yang kuat bermusuh.

“Ustaz Hadi gesa kerajaan berlaku adil kepada pembangkang kerana kedua-dua pihak bukannya musuh. Hadi kata memberi peruntukan hanya untuk ahli parlimen kerajaan tidak Islamik.

“Hadi lupa PN yang kuat bermusuh dengan kata kesat dan dalil hukum menyesatkan. Kerajaan diumpama najis. ‘Mana mungkin PN mahu masuk ke tong najis’. Itu kata Ustaz Hadi. Itu mengapikan permusuhan. Apakah itu adil dan Islamik?

“Dalam isu peruntukan, Perdana Menteri sudah panggil berunding. Tetapi Ketua Pembangkang dengan angkuh menolak. Hadi sokong Hamzah. Kenapa memusuhi sampai tidak mahu berunding? PN mesti cermin diri sendiri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pada minggu lalu media melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan nada sinis menyifatkan, Pas tidak mampu membersihkan Kerajaan Perpaduan yang sudah sedia tercemar.

Reaksi tersebut merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa UMNO akan kembali ‘dibersihkan’ jika Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.

Pada 19 September lalu, media melaporkan Ahli Parlimen pembangkang diingatkan supaya tidak angkuh dan sombong dalam usaha mendapatkan peruntukan daripada kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka perlu berunding dengan kerajaan seperti yang dilakukan ketika pemerintahan kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jika mahukan dana seperti yang dibangkitkan.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Tambun itu mengkritik kenyataan pemimpin pembangkang yang mendakwa tiada peruntukan diberikan ke kawasan mereka sedangkan katanya, ia hanya melibatkan untuk ahli Parlimen sahaja. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.