Solidariti Bersama Palestin, Wan Rosdy Ajak Teruskan Berdoa Untuk Ketabahan Dan Kekuatan

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Pendirian Malaysia konsisten dalam mengutuk kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin malah Himpunan Malaysia Bersama Palestin semalam dimanifestasikan sebagai solidariti menyokong perjuangan mereka.

Dalam hal ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengajak rakyat untuk teruskan berdoa untuk rakyat Palestin.

“Saya bersama ribuan rakyat Malaysia hadir ke Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. Himpunan ini cukup bererti untuk kita nyatakan solidariti kita terhadap nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh kekejaman dan kezaliman rejim haram Israel yang telah menjangkau 75 tahun.

“Marilah kita teruskan berdoa ke hadrat Allah SWT semoga saudara kita di Palestin terus diberi ketabahan, kesabaran serta kekuatan. Amin,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, semalam, rakyat Malaysia pelbagai latar belakang, bangsa dan agama berhimpun tanda bersolidariti bagi menunjukkan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dan menekan tindakan kejam Israel.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa terkorban. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.