Marilah Kita Bersatu Hati, Pastikan Rakyat Palestin Dapat Pembelaan – Tok Mat Hasan

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengajak seluruh rakyat agar terus bersatu hati bagi memastikan rakyat Palestin mendapat pembelaan sewajarnya.

Jelasnya, kekejaman yang dilakukan oleh zionis Israel kepada rakyat Palestin menunjukkan seolah-olah nyawa mereka lebih tidak berharga jika dibandingkan dengan haiwan peliharaan.

“Bayangkan, sedang kita berkumpul pada malam ini menyatakan betapa dukacitanya kita, rakyat Malaysia yang berbilang kaum, budaya, agama… menyatakan bahawa kekejaman yang tidak berperikemanusiaan dilakukan oleh rejim zionis Israel.

“Bayangkan, pada malam ini kita berada di Palestin dan sebuah bom jatuh di tengah-tengah arena ini. Itu telah berlaku dan dilakukan oleh rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang berlindung di Hospital Al-Ahli.

“Tetapi, mereka dibom di perkarangan hospital, tempat yang sepatutnya menjadi paling selamat jika ada krisis ataupun peperangan. Inilah kekejaman yang tidak berperikemanusiaan. Nyawa rakyat Palestin seolah-olah lebih tidak berharga dibandingkan dengan binatang peliharaan,” katanya ketika menyampaikan pidato sempena Himpunan Malaysia Bersama Palestin, semalam.

Menurutnya, apa yang lebih mendukacitakan ialah negara berkuasa-kuasa besar menggelapkan mata bahkan memberikan sokongan kepada rejim zionis Israel yang telah menindas rakyat Palestin selama 75 tahun.

“Saudara-saudari sekalian, 75 tahun orang Palestin dijajah, diusir, dibunuh secara kejam oleh rejim zionis Israel dan kemuncaknya ialah pada baru-baru ini sehinggalah sekarang. Tetapi yang mendukacitakan kita adalah negara berkuasa-kuasa besar menggelapkan mata. Bukan sahaja mendiamkan diri tetapi memberikan sokongan kepada rejim zionis Israel.

“Maka Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti membawa suara kita pada malam ini supaya mendesak masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya melakukan sesuatu untuk memberhentikan kekejaman yang telah berlaku secara tidak berperikemanusiaan dan menjadi sebagai krisis kemanusiaan.

“Krisis ini bukanlah berkenaan dengan agama tetapi kemanusiaan. Kita mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana telah menyuarakan suara kita, Malaysia semasa sidang di Jeddah baru-baru ini. Kita jangan berhenti saudara dan saudari sekalian,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau turut mengajak semua pihak untuk terus bersama-sama memberikan apa jua bentuk bantuan dan sokongan kepada rakyat Palestin yang sedang ditimpa krisis itu.

“Pada malam ini saya bukan datang sebagai Menteri Pertahanan tetapi sebagai Timbalan Presiden UMNO dan juga Mohamad Hasan menyatakan betapa dukacitanya kita rakyat Malaysia, bahawa kekejaman yang dilakukan oleh zionis Israel amat tidak berperikemanusiaan.

“Jadi alhamdulillah, malam ini dan seterusnya marilah kita sama-sama pastikan kita bersatu hati supaya kita rakyat Malaysia yang merdeka, hidup dalam keadaan aman damai memberikan apa jua bantuan dan sokongan kepada rakan-rakan kita di Palestin.

“Saya berharap supaya jika ada di masjid-masjid, tabung-tabung yang diedarkan semasa kita mahu bersolat Jumaat atau mana-mana jua, marilah kita sama-sama menderma sedikit sebanyak untuk kita memberikan sedikit bantuan yang ada kepada rakyat Palestin,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia sedang menunggu laluan Rafah, Mesir dibuka agar segala bantuan dapat disalurkan.

“Kita menunggu supaya pintu Rafah dibuka agar bantuan yang kita nak hantar nanti dapat diterima oleh rakyat Palestin. Insya-Allah, atas usaha yang dilakukan oleh kerajaan kita minta supaya pihak Mesir membuka pintu Rafah untuk kita menghantar bantuan sebanyak mungkin kepada rakyat Palestin.

“Mari kita bersatu hati, bersama-sama memastikan supaya rakyat Palestin mendapat pembelaan,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.