Kualiti Pendidikan Negara Semakin Diyakini, IPT Republik Tatarstan Meterai MoU Bersama IPT Tempatan

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Pemerteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) Republik Tatarstan dan IPT tempatan menjadi bukti bahawa kualiti pendidikan tinggi Malaysia semakin diyakini negara luar.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Republik Tatarstan untuk membincangkan bentuk kerjasama bagi mengukuhkan hubungan melalui sektor pendidikan tinggi.

“Menerima Kunjungan Hormat daripada Delegasi Republik Tatarstan yang diketuai oleh Prof. Albert Kh. Gimutdinov, Wakil Khas kepada Presiden Republik Tatarstan.

“Pertemuan ini bagi membincangkan bentuk kerjasama bagi mengukuhkan hubungan antara dua negara melalui sektor pendidikan tinggi.

“Antara perkara yang dibincangkan ialah kerjasama dalam bidang sains dan teknologi, kewangan dan perbankan Islam serta industri halal,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, MoU yang dimeterai melibatkan kolaborasi dalam pelbagai bidang penyelidikan termasuklah industri halal program mobiliti pelajar dan ahli akademik, penganjuran bengkel serta seminar secara bersama.

“Seterusnya, saya telah menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara IPT tempatan dan IPT di Republik Tatarstan. Antara IPT tempatan yang terlibat ialah USM, UTM, UPM, UniKL, MMU serta APU.

“MoU tersebut melibatkan kolaborasi dalam pelbagai bidang penyelidikan, antaranya industri halal, program mobiliti pelajar dan ahli akademik, penganjuran bengkel serta seminar secara bersama.

“Detik-detik yang dijayakan pada hari ini jelas memperlihatkan kualiti pendidikan tinggi negara semakin diyakini oleh negara luar. Semoga kerjasama yang termeterai ini benar-benar memberi manfaat kepada usaha memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara di peringkat global, insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.