Kerajaan Perpaduan Perkasa Penghayatan Islam, Hasrat Lahirkan 100 Ribu Hufaz Cilik – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Kerajaan Perpaduan memperuntukkan sebanyak RM20 juta menerusi Belanjawan 2024 untuk memperkasa penghayatan Islam dan ilmu Al-Quran seawal usia melalui Program Pra Tahfiz Kemas.

Jelasnya, ini adalah bagi mencapai sasaran untuk melahirkan seramai 100 ribu hufaz cilik menjelang tahun 2026.

“Program ini juga merangkumi pembentukan akidah dan penerapan nilai-nilai Islam dalam jiwa anak-anak agar mereka dapat membesar sebagai insan yang patuh dan taat kepada perintah Allah SWT,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lepas telah membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ berjumlah RM393.8 bilion, paling tinggi dalam sejarah belanjawan negara.

Menerusi belanjawan ini, Anwar telah mengumumkan hasrat kerajaan untuk melaksanakan Program Pra Tahfiz Kemas bagi memperkasakan penghayatan pendidikan Islam dan ilmu al-Quran sejak awal usia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.