Kerajaan Laksana Pelbagai Pendekatan Kurangkan Kesesakan Plaza Tol Gombak Dan Tol Bentong – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kerajaan melaksanakan pelbagai pendekatan termasuklah jangka pendek serta jangka panjang dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas di Plaza Tol Bentong serta Tol Gombak terutama pada hari minggu dan cuti perayaan.

Menjawab di Parlimen pada sesi pertanyaan menteri, beliau menjelaskan untuk jangka masa pendek penambahan jumlah kakitangan bertugas serta menempatkan petugas RELA dalam masa tertentu selain menyediakan kembali perkhidmatan kren untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan adalah antara pelan jangka pendek.

“Untuk tindakan jangka panjang, kerajaan dalam perancangan untuk melaksanakan sistem kutipan tol secara Multi Lane Fast Flow (MLFF) bagi melancarkan pergerakan trafik di plaza tol. Selain itu kerajaan telah meluluskan cadangan pelebaran lorong Lebuhraya KLK bermula dari Plaza Tol Gombak ke Persimpangan Central Spine Road, Bentong yang akan dilaksanakan oleh pihak ANIH Berhad selaku pemegang konsesi Lebuhraya KLK.

“Cadangan Pelebaran Lebuhraya KL Karak dijangka akan dapat menyediakan kemudahan yang selesa, cepat, mudah dan cekap serta menangani isu kesesakan yang sering berlaku di Lebuhraya KLK terutamanya pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu. Ketika ini, projek ini dalam peringkat awalan dan reka bentuk terperinci dan kerja pembinaan fizikal di tapak dijangka bermula pada Suku Kedua 2024,” katanya.

Beliau menjawab pertanyan Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berhubung perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang Kerajaan agar kesesakan lebuh raya seperti di tol Bentong dan tol Gombak dapat dikurangkan serta adakah Kerajaan bersetuju sekiranya lampu solar dipasang di lebuh raya yang tidak mempunyai lampu jalan.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis seterusnya berkata Syarikat Konsesi ANIH Bhd telah melaksanakan obligasi mereka untuk memasang lampu di Lebuhraya KLK sebagaimana yang terkandung di dalam Perjanjian Konsesi.

Katanya lagi kerajaan juga telah memasang lampu di jajaran Gombak ke Terowong Genting Sempah dan pemasangan lampu jalan dari Terowong Genting Sempah ke Persimpangan Central Spine Road, Bentong adalah termasuk dalam skop kerja pelebaran yang akan dilaksanakan

“Pada dasarnya, Kerajaan menyokong dan menggalakkan penggunaan teknologi hijau dengan memperuntukkan di dalam Perjanjian Konsesi bagi lebuhraya baharu supaya mengambil kira penggunaan Teknologi Hijau seperti lampu jalan LED dan lampu solar. Walaubagaimanapun, ianya perlu mematuhi spesifikasi yang ditetapkan,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.